Info Putra Heights 2016

Raja Azmi Kini Bertudung

alt


KUALA LUMPUR 2 Jun - Penerbit filem, Raja Azmi Raja Sulaiman, 55, mengambil keputusan untuk berhijab selepas mendengar nasihat daripada orang ramai dan juga atas doa anaknya, Megat Dali, 20.

Beliau yang pernah menimbulkan kontroversi sebelum ini gara-gara kenyataannya yang mempersoalkan wanita tidak bertudung akan masuk neraka antara punca dia terbuka hati untuk berhijrah.

Raja Azmi berkata, sebelum kekecohan yang ditimbulkannya bulan lalu, beliau sedikit pun tidak pernah terfikir untuk memakai tudung walaupun pernah menunaikan umrah Februari lalu.

"Akibat daripada kenyataan saya tentang wanita dan tudung itu, banyak orang memberi nasihat dan mana yang menegur cara baik saya terima dengan hati terbuka.

"Tidak dinafikan teguran itu sedikit sebanyak membuka pintu hati saya untuk berhijrah dan saya yakin apa yang berlaku adalah amaran daripada Allah. Alhamdullillah, saya kini memilih untuk bertudung dan tindakan saya ini mendapat sokongan daripada suami dan anak-anak," katanya kepada Utusan Online hari ini.

Selain itu, katanya, beliau turut melakukan solat tahajud dan kesan daripada itu, hatinya terbuka untuk bertudung.

"Masa pulang daripada menunaikan umrah, saya tidak pernah pun terfikir untuk bertudung. Mungkin ini juga adalah doa anak saya, Megat Dali yang menunaikan umrah selepas saya kembali.

"Antara orang yang paling gembira apabila melihat saya bertudung ialah Megat Dali dan suami, Mohd. Eddie Ghazali, tetapi mereka tidak tunjuk sangat. Dulu nak tegur mereka takut tetapi sekarang saya tahu mereka gembira dengan tindakan saya ini," jelasnya.

Bersempena dengan perubahan penampilan dirinya itu, Raja Azmi juga bercadang untuk berniaga tudung dengan seorang rakan. Tudung rekaannya dibuat dalam tujuh corak.

"Tudung-tudung rekaan saya mengambil nama sempena tujuh jenis bunga, iaitu lili, cempaka, mawar, dahlia, orkid, melur dan kekwa.

"Insya-Allah akan mula dijual pada 18 Jun ini," katanya yang juga bakal melancarkan novel tulisannya, Karkuma, tidak lama lagi.

0 Komentar untuk "Raja Azmi Kini Bertudung"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top