Info Putra Heights 2016

PR1MA tidak lantik wakil, kenakan deposit

Perbadanan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) menegaskan pihaknya tidak pernah melantik mana-mana pihak untuk mewakili agensi itu untuk mendaftarkan permohonan apatah lagi mengenakan bayaran deposit sebanyak RM500.


Pengerusinya, Tan Sri Dr. Jamaluddin Jarjis berkata, pihaknya turut mengesan terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab mewujudkan satu laman web palsu, justeru memohon orang ramai supaya berhati-hati agartidak menjadi mangsa penipuan tersebut.


"Bagi penduduk di Teluk Intan misalnya, mereka boleh membuat pendaftaran di Pejabat Daerah tanpa perlu pergi ke Kuala Lumpur.


"Orang muda juga boleh membuat permohonan secara dalam talian," katanya dalam satu sidang akhbar selepas perasmian PR1MA Teluk Intan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dataran Menara Condong di sini hari ini.



PR1MA di Teluk Intan yang bakal dibangunkan sebanyak 5,000 unit di kawasan seluas 202 hektar adalah hasil kerjasama antara Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan Koperasi Pegawai-Pegawai Melayu Malaysia Berhad (Moccis).


Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan PR1MA, Datuk Abdul Mutalib Alias dan Timbalan Pengerusi Moccis, Datuk Abd. Aziz Mat.


Dalam perkembangan berkaitan, Jamaluddin berkata, pihaknya mempunyai mekanisme tertentu bagi mempercepat pembinaan PR1MA dengan mengambil pemaju sedia yang telah memiliki tanah serta mempunyai kelulusan kerajaan dengan syarat mengikut spesifikasi dan harga yang ditetapkan.

"Kita menerima banyak permohonan daripada ibu bapa tunggal dan matlamat kita adalah untuk membina rumah yang mampu dimiliki dan dijual.


"Oleh itu, kita mungkin menjual rumah sebilik sahaja yang pada asalnya mempunyai cadangan pelan tiga bilik.

"Anak muda yang baru berkahwin misalnya boleh menambah sendiri bilik di kediaman mereka apabila keluarga dan pendapatan mereka juga telah bertambah," katanya.

0 Komentar untuk "PR1MA tidak lantik wakil, kenakan deposit"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top