Info Putra Heights 2016

PBNJ tawar RM11 juta beli Juan Manuel

PERSATUAN Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) sudah mempunyai perancangan pembangunan bola sepak untuk musim hadapan meskipun saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2014 masih belum menutup tirai.

Presidennya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengakui teruja mengenai perancangan persatuan untuk musim depan malah memberitahu, PBNJ sedang berusaha untuk mendapatkan khidmat pemain Boca Juniors yang berasal dari Argentina, Juan Manuel Martinez, 28.

Menurutnya, pada masa sama, beliau yang juga Tunku Mahkota Johor berminat untuk mendapatkan penyerang import berbisa Selangor, Paulo Rangel untuk bermain di negeri ini.

"PBNJ menawarkan RM11 juta (USD3.5 juta) kepada Kelab Boca Juniors untuk melepaskan Juan Manuel dan kita sedang menunggu perkembangan mengenai perkara tersebut," katanya pada sidang akhbar di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin, di sini hari ini.

Tunku Ismail berkata, Juan Manuel yang disifatkan sebagai pemain serba boleh kerana mampu beraksi dalam pelbagai posisi malah dilihat sangat sesuai untuk bermain dengan Johor Darul Ta'zim (JDT).

Katanya, bagaimanapun semua itu masih berada pada tahap perancangan termasuk membayangkan tiga atau empat pemain tempatan akan ditukar sekali gus memaklumkan peruntukan untuk pasukan musim depan tidak sebesar yang disediakan untuk musim ini.

Selain itu, beliau turut memaklumkan PBNJ sedang merancang beberapa program termasuk perlawanan persahabatan dengan pasukan dari Serie A, AC Milan selain perlawanan amal dengan pemain Barcelona Lionel Messi dan Neymar.

Dalam perkembangan lain, beliau juga menyatakan hasrat untuk membawa JDT II beraksi dalam Liga Singapura musim depan bagi memberi pendedahan kepada pemain pasukan berkenaan sekali gus mencari pengalaman di liga lain.

Sambil menyatakan kesediaan membayar denda RM300,000 kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sekiranya perancangan itu direalisasikan, Tunku Ismail berharap pemain pasukan JDT II akan berusaha menambah baik mutu permainan mereka di masa akan datang
0 Komentar untuk "PBNJ tawar RM11 juta beli Juan Manuel"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top