Info Putra Heights 2016

MINGGU lalu, ketika penulis sedang asyik membelek satu persatu gambar di laman Instagram, terpegun apabila terlihat wajah ayu seorang artis yang sebelum ini berimej agak seksi, tampil dengan imej bertudung.

Justeru, tanpa berlengah, penulis terus mencapai telefon menghubungi pelakon berdarah kacukan, Nabilah Ali Dally, 22 atau Bella Dally untuk mendapatkan kepastian mengenai hal tersebut sama ada ia benar-benar berlaku atau sekadar menjayakan watak gadis bertudung dalam drama lakonannya.


Bella apabila dihubungi mengakui mula mengenakan hijab sepenuhnya sejak Rabu lalu dan menerangkan segalanya berlaku dalam sekelip mata.

Sejak awal tahun lagi, Bella memang dia berhasrat untuk berhijab tetapi niat tersebut terpaksa ditunda memandangkan terlibat dalam penggambaran sebuah drama yang membawakan watak gadis tanpa tudung.

"Jadi, nanti saya tak nak orang kata sekejap bertudung, sekejap sudah hilang tudung. Lebih baik saya selesaikan dahulu penggambaran tersebut dan menetapkan pendirian saya. Isu pakai tudung ini bukannya sesuatu yang boleh dibuat suka-suka, tetapi perlu ikhlas dan berkekalan.

"Dua minggu lalu, selepas penggambaran tamat, saya mula buat persiapan untuk menunaikan hasrat itu. Alhamdulillah, Rabu lepas, apabila bangun tidur, terdetik untuk mencapai tudung ketika ingin keluar rumah," katanya menceritakan detik awal penghijrahannya itu. Bella secara jujur turut memberitahu, perubahan positif ini tidak ada kena mengena dengan orang lain, melainkan datang daripada sudut hati sendiri.

"Saya boleh katakan semuanya ini kerana didorong oleh Allah. Apabila saya memuat naik gambar imej terbaharu ini dan berkongsi dengan ramai orang, Alhamdulillah saya mendapat maklum balas yang sangat baik.

"Peminat begitu menyokong dan memberi kata-kata semangat. Saya amat menghargai sokongan tersebut dan berharap diri ini mampu mengekalkannya selama-lamanya.

"Boleh dikatakan, hampir keseluruhan gambar lama saya tidak bertudung telah dikeluarkan daripada laman sosial saya. Kalau ada pun, mungkin di blog-blog dan internet. Itu di luar bidang kuasa saya," kata anak kelahiran Kota Kinabalu ini.

Disebabkan perubahan mendadak yang dilakukannya, Bella berharap peminat dapat memaafkannya jika masih lagi menonton drama-drama lakonannya dalam imej lama.

"Itu adalah diri saya sebelum ini dan saya tidak mempunyai kuasa untuk menghalangnya daripada disiarkan. Biarlah ia menjadi sejarah dan saya cuba sedaya mungkin untuk tidak kembali dengan imej lama. Semoga saya akan selamanya bertudung," katanya

0 Komentar untuk " "

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top