Info Putra Heights 2016

Hudud Cabaran dan Harapan

POLEMIK mengenai undang-undang jenayah Islam (baca: hudud) tidak pernah sunyi daripada menjadi perbahasan dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Dari sudut positifnya ia boleh menyemarakkan rasa ingin tahu masyarakat berkenaan undang-undang berkenaan.

Namun, dari satu sudut yang lain menggambarkan masyarakat Islam di negara ini khasnya belum cukup memahami hakikat hudud itu sendiri.

Masalah ketidakfahaman ini sangat logik dibangkitkan kerana perkara berkaitan jenayah Islam ini tidak diajar secara terbuka kepada masyarakat umum. Ia hanya dipelajari secara formal oleh mereka yang menjurus dalam bidang pengajian Islam khasnya jurusan syariah.

Pengajian kuliah-kuliah agama di masjid dan surau boleh dikatakan tidak mendedahkan jemaah berkenaan perkara ini berbanding dengan bab-bab lain dalam ilmu fiqh seperti bab taharah, solat, puasa dan ibadat-ibadat yang lain.

Hal yang sama juga berlaku kepada media arus perdana. Hampir tidak pernah dibincang, dikuliah, dan diforumkan berkenaan subjek hudud ini berbanding bab-bab lain yang disebutkan.

Oleh kerana itu, tidak hairanlah mengapa masyarakat masih lagi tidak memahami bahawa dalam Islam ini terdapat satu peraturan yang mengawal peribadi daripada perlakuan jenayah, sekali gus menjamin keamanan dalam masyarakat (al-Baqarah, 2: 179).  

Tidak lama dahulu, seorang Adun dari sebuah negeri mencadangkan agar negerinya menjadi yang pertama melaksanakan hudud.

Selanjutnya, seorang ketua hakim syarie di salah sebuah negeri juga memberi komitmen bahawa mahkamah syariah negerinya bersedia dan berupaya untuk melaksanakan hukuman hudud yang telah pun diluluskan 'enakmennya' di negeri tersebut.

Terkini, menteri yang bertanggungjawab terhadap portfolio agama dalam sidang Parlimen berjanji bahawa Kerajaan Pusat akan memberikan komitmen penuh bagi mana-mana negeri yang hendak melaksanakan hukum ALLAH itu.

Mungkin dengan kenyataan tersebut Malaysia akan mengorak langkah menjadi negara kedua di Asia Tenggara yang melaksanakan undang-undang berkenaan selepas Brunei.

Pengalaman mengajar kursus-kursus yang berlatar belakangkan Islam kepada pelajar-pelajar bukan disiplin pengajian Islam, termasuk non-muslim, apabila diminta pandangan mereka mengenai kemungkinan hudud dilaksanakan di negara ini, boleh dikatakan jawapan mereka hampir sama.

Respons pertama ialah undang-undang Islam tidak boleh dilaksanakan kerana masyarakat kita majmuk.

Manakala respons kedua pula menyatakan mana mungkin undang-undang Islam ditegakkan sedangkan kita berada di negara yang meletakkan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi, dan sebarang undang-undang yang bercanggah dengannya adalah terbatal dan tidak boleh dilaksanakan. Mungkin jawapan dan respons pelajar-pelajar ini juga merupakan andaian umum masyarakat di Malaysia.

Berdasarkan kedudukan yang sedia ada kini iaitu bidang kuasa persekutuan sepertimana yang ditetapkan oleh Senarai Persekutuan Perlembagaan itu yang menyatakan bahawa hal ehwal jenayah adalah terletak di bawah persekutuan dan bukannya negeri, maka pelaksanaan hudud perlu diletakkan di bawah persekutuan dan bukannya negeri.

Cadangan ini adalah logik kerana, antara lain, pelaksanaan undang-undang jenayah memerlukan prasarana yang lengkap dan mencukupi termasuklah dari segi penguatkuasaan, penjara, perjawatan, perbelanjaan, dan seumpamanya. Ini sudah tentu tidak mampu atau sekurang-kurangnya sukar (sungguh pun tidak mustahil) dilakukan oleh kerajaan negeri.

Dari satu segi lain, struktur pentadbiran jenayah dapat diselaraskan dengan meletakkannya di bawah Kerajaan Persekutuan dan dalam masa sama keseluruhan rakyat tidak melihat adanya double standard dalam pelaksanaan undang-undang jenayah.

Cuma, pelaksanaan hudud di persekutuan mungkin boleh menimbulkan persoalan bidang kuasa kerana hukum tersebut dikategorikan sebagai 'jenayah agama' yang terletak dalam senarai negeri, sungguhpun terdapat beberapa jenis jenayah hudud yang pada masa kini ditangani di peringkat persekutuan (berasaskan Penal Code) seperti curi, rompak, dan (mungkin) bughah.

Namun, jika pelaksanaannya hendak diserahkan juga kepada bidang kuasa negeri, maka Parlimen hendaklah memperluaskan bidang kuasa mahkamah syariah yang tertakluk kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 1984).

Akta tersebut yang kini memperuntukkan bahawa bidang kuasa jenayah mahkamah syariah menjatuhkan hukuman penjara sehingga tiga tahun, atau apa-apa denda sehingga RM5,000 atau sebat enam rotan atau gabungan kedua-dua hukuman perlu dipinda supaya mahkamah syariah boleh menjatuhkan hukuman sehingga ke peringkat hukuman mati (iaitu merangkumi semua jenis hukuman yang terdapat dalam hudud). Dengan kata lain, komitmen ahli-ahli Dewan Rakyat adalah perlu bagi memastikan pelaksanaan hudud boleh dibuat di peringkat negeri.
0 Komentar untuk "Hudud Cabaran dan Harapan"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top