Info Putra Heights 2016

Festival kenang P Ramlee

Seniman Agung, Tan Sri Dr P Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh, tidak pernah dilupakan meskipun sudah hampir 41 tahun beliau meninggalkan kita. 

Bukan sekadar dirinya yang tetap dikenang, bahkan filem lakonan dan arahannya juga sampai ke saat ini tetap menjadi kegemaran ramai, tidak kiralah penonton muda mahupun golongan seangkatan dengan bintang serba boleh terbabit. 


Di lahirkan pada 22/03/1929, insan berbakat besar ini, bukan saja berjaya membina nama sebagai pelakon, malah beliau turut menyanyi dan juga mengarah filem tanpa mengenal erti jemu. 



Antara filem terbaik yang pernah dihasilkan termasuk Madu Tiga, Bujang Lapok, Seniman Bujang Lapok, Ibu Mertuaku, Sarjan Hassan dan banyak lagi. 

Pemergiannya pada 29 Mei 1973 pada usia 44 tahun tidak sedikit pun membuatkan peminat lupa hasil karyanya, malah beliau sentiasa menjadi idola terutamanya di kalangan penggiat seni tanah air. 


Festival kenang P Ramlee




Acara wajib di Pulau Pinang 

Bagi mengenang kembali diri dan jasa tokoh seni negara itu, Institut Pulau Pinang sekali lagi menganjurkan Festival P Ramlee Pulau Pinang 2014, sebagai acara temasya penduduk setempat. 

Festival yang menjadi acara wajib bagi rakyat negeri itu turut muncul sebagai program yang menghimpunkan masyarakat dalam pelbagai aktiviti kesenian dan kebudayaan. 

Pengarah Eksekutif Institut Pulau Pinang, Zairil Khir Johari, berkata acara festival itu bagi meraikan tokoh Seniman Agung yang berasal dari Pulau Pinang. 

"Festival ini bertujuan mengangkat kembali tokoh keilmuan dan kebudayaan negeri ini yang banyak menyumbangkan jasa dan bakti kepada tanah air," katanya. 

Menjadikan Kampung Melayu Air Itam sebagai lokasi festival yang diadakan buat kali kedua itu, penganjuran selama tiga hari bermula 28 Mac lalu itu diisi dengan pelbagai aktiviti menarik. 



Wayang pacak, forum isi agenda 

Bermula dengan persembahan wayang pacak, penonton dibawa mengimbau kembali nostalgia menonton cara lama yang begitu terkenal pada ketika dulu, dengan memainkan filem popular lakonan P Ramlee, Seniman Bujang Lapok. 

Hari berikutnya, penganjuran menampilkan tiga barisan ahli panel iaitu pengasas animasi di Malaysia, Hassan Mutalib; pengarah teater Absurd, Che Shamsudin Othman atau dikenali sebagai Dinsman dan Abu Musarrif Abu Bakar atau Abu Mamu Raja Lawak untuk membincangkan karya komedi P Ramlee dalam Forum Nusantara - Satira Dalam Filem Melayu. 

Forum yang mengupas karya komedi P Ramlee dengan merungkai tema dan ciri di sebalik citra komedi Seniman Agung itu, berjaya membuatkan hadirin memahami pengisian filemnya yang penuh nilai moral. 

Pertandingan nyanyian lagu P Ramlee dan Saloma yang menjadi acara utama pada Festival P Ramlee Pulau Pinang juga berjaya menarik minat masyarakat di negeri itu. Ia disertai bukan saja golongan dewasa, malah bakat remaja tidak ketinggalan memeriahkan pertandingan. 

Zairil berkata, selain memberi peluang masyarakat menunjukkan bakat dalam nyanyian lagu P Ramlee dan Saloma, pihaknya ingin memperkenalkan kembali lagu yang pernah dihasilkan oleh seniman terbabit kepada golongan muda. 

"Diharap menerusi festival yang dijalankan, masyarakat dapat menghayati semangat, kesungguhan dan keceriaan insan bernama P Ramlee," katanya.

0 Komentar untuk "Festival kenang P Ramlee"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top