Info Putra Heights 2016

Perlaksanaan HUDUD Diluluskan di DUN Kelantan dan mendapat sokongan UMNO

DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) digesa untuk menyatakan sokongan serta persetujuan mereka terhadap pelaksanaan undang-undang hudud di Kelantan.

Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh) berkata, kedua-dua parti tersebut tidak sepatutnya menimbulkan bantahan terhadap undang-undang hudud berikutan hubungan akrab mereka dengan Pas di dalam pakatan pembangkang.

Malah, menurut beliau, kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada UMNO di Kelantan telah menyatakan sokongan terhadap pelaksanaan undang-undang hudud di negeri tersebut.

"Kita berharap persetujuan dalam kalangan pakatan pembangkang, khususnya DAP dan PKR sebagai satu langkah yang mendekatkan kita ke arah pelaksanaan hukum hudud," katanya ketika membahaskan usul titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Annuar menambah, inisiatif kerajaan Pas Kelantan mempelopori usaha melaksanakan undang-undang hudud merupakan satu langkah yang patut dipuji.

Beliau memberitahu, pelaksanaan undang-undang hudud telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan serta mendapat sokongan rakyat Kelantan termasuk masyarakat Cina.

"Langkah-langkah sewajarnya patut diambil, saya dengar undang-undang hudud belum diwartakan. Kalau sudah diwartakan, pelaksanaannya perlu disegerakan," ujarnya.

Selain itu, jelas beliau, Jabatan Kehakiman Syarie Kelantan juga telah menyatakan kesediaannya untuk melaksanakan undang-undang hudud.


0 Komentar untuk "Perlaksanaan HUDUD Diluluskan di DUN Kelantan dan mendapat sokongan UMNO"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top