Info Putra Heights 2016

Teliti latar belakang 'baju hitam'

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) digesa supaya meneliti terlebih dahulu latar belakang mana-mana pengadil sebelum dilantik mengadili sesuatu perlawanan.
Seorang pemerhati bola sepak yang enggan namanya didedahkan berkata, sebarang sentimen peribadi dikhuatiri akan menjejaskan pertimbangan mana-mana pegawai perlawanan ketika mengadili sesuatu perlawanan.
Menurut beliau, tempoh rehat lebih dua minggu sebelum kempen Piala Malaysia kembali bersambung pada 17 September ini, wajar dimanfaatkan sepenuhnya oleh FAM bagi menilai semula kemampuan mana-mana pengadil.
"Saya memuji keprihatinan FAM yang akan mengambil tindakan serta-merta terhadap mana-mana pengadil sebelum saingan Piala Malaysia berakhir.
"Cuma pendapat saya, latar belakang mana-mana pegawai perlawanan yang dilantik perlu diambil kira bagi mengelak sebarang perkara berbangkit di kemudian hari," katanya kepada Kosmo! semalam.
 
Semalam, Kosmo! melaporkan jaminan Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk Astaman Aziz yang akan mengambil tindakan segera terhadap mana-mana pengadil yang gagal mengadili perlawanan dengan baik sebelum kempen Piala Malaysia berakhir.
Ia rentetan kontroversi jaringan penyerang import Perak, Paulo Rangel yang tidak disahkan pengadil perlawanan, Nafeez Wahab ketika skuad Kejor Yob Kejor itu tewas 1-2 kepada Lions XII dalam aksi Kumpulan D kempen Piala Malaysia di Stadium Jalan Besar, Sabtu lalu.
Insiden itu dipercayai berlaku selepas penjaga garisan, Hanif Rahman dikatakan tidak menyedari bola telah melepasi garisan gol sebelum ia dikeluarkan penjaga gol Lions XII, Izwan Mahbud.
 
Difahamkan, ia bukan kesilapan pertama Hanif yang didakwa turut terlibat dengan kontroversi ketika pertemuan kedua-dua pasukan dalam aksi Liga Super di Stadium Perak, Ipoh pada 25 Jun lalu.
Disebabkan itu, Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) akan mengemukakan bantahan rasmi kepada FAM dalam masa terdekat.
Pemerhati berkenaan turut mengulas mengenai tindakan segelintir penyokong yang tidak bertanggungjawab membuat kekacauan di stadium gara-gara tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil perlawanan.
Beliau mendakwa, masih ramai dalam kalangan penonton yang 'terlepas masuk' ke dalam stadium biarpun membawa barangan larangan seperti mercun, vuvezela, suar dan sebagainya.
"Apa yang saya perhatikan, pemeriksaan terhadap penonton hanya dilakukan pihak berkuasa di dalam stadium selepas pintu masuk setelah tiket telah diperiksa.
"Apabila penyokong mengamuk gara-gara keputusan pengadil, habis semua barang dicampakkan ke padang sehingga menjejaskan keselamatan.
"Jadi, saya harap isu keselamatan ini tidak dipinggirkan sebegitu sahaja biarpun sedikit sebanyak ia berpunca daripada keputusan pengadil yang boleh dipertikai," jelas beliau.
 
0 Komentar untuk "Teliti latar belakang 'baju hitam'"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top