Info Putra Heights 2016

Pewaris Red Bull dikenakan waran tangkap

BANGKOK - Satu waran tangkap terhadap pewaris empayar minuman tenaga Red Bull akan dikeluarkan selepas dia gagal hadir ke mahkamah berhubung kes langgar lari, kata pihak pendakwa raya semalam.
Suspek, Vorayuth Yoovidhya,  28, dituduh memecut kereta Ferrari yang dipandunya sehingga melanggar dan membunuh seorang anggota polis di sini.
Dia kemudian melarikan diri dari lokasi kejadian dalam insiden pada 3 September 2012 itu.
"Polis akan mengeluarkan satu waran tangkap terhadap suspek esok (hari ini) dan dia boleh ditahan di mana-mana sahaja di Thailand," kata pendakwa raya awam kanan, Reuchai Krairerk di Mahkamah Jenayah Selatan Bangkok, di sini.
 
Vorayuth dituduh menyebabkan kematian kerana memandu secara cuai dan gagal berhenti bagi membantu mangsa.
Bagaimanapun, satu lagi tuduhan ke atasnya melibatkan memandu melebihi had laju telah digugurkan.
Sementara itu, menurut peguamnya, Tanit Buakeaw, Vorayuth gagal hadir ke mahkamah kerana tidak berada di Thailand sejak Khamis lalu atas urusan perniagaan.
 
Dia dijangka pulang ke Thailand dalam tempoh tiga hari dan akan memberi kerjasama kepada pihak pendakwa raya.
Polis berkata, Vorayuth telah membayar pampasan kepada keluarga mangsa sebanyak AS$97,000 (RM317,578) selepas kemalangan itu.
Kes terbabit mencetuskan kemarahan banyak pihak berhubung sistem keadilan yang didakwa berat sebelah.
Vorayuth ialah cucu pengasas Red Bull, mendiang Chaleo Yoovidhya.
Chaleo yang merupakan antara orang terkaya di Thailand, meninggal dunia pada tahun lalu. -
 
0 Komentar untuk "Pewaris Red Bull dikenakan waran tangkap"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top