Info Putra Heights 2016

William Yau Zhen Zhong - berita terkini

PETALING JAYA 31 Mei - Keputusan inkues bagi menyiasat punca kematian William Yau Zhen Zhong yang mayatnya ditemui terapung di Jeti Sungai Sireh, Pelabuhan Klang, awal tahun ini akan diketahui pada 20 Jun ini.
Koroner Mohd. Hezri Shaharil menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar keterangan saksi terakhir iaitu pegawai penyiasat kanan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, Asisten Supritendan Mohammad Zainal Abdullah di Mahkamah Koroner, di sini hari ini.
Sebanyak 21 saksi termasuk pakar patologi, dua pegawai penyiasat, ibu bapa dan abang mangsa telah dipanggil untuk memberi keterangan dalam prosiding yang bermula sejak 11 Mac lalu.
 
Prosiding inkues itu dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya, Lee Keng Fatt yang menyoal balas saksi manakala Goh Kim Lian hadir sebagai peguam pemerhati bagi pihak keluarga William.
Inkues tersebut diadakan bagi mencari punca sebenar kematian William, 6, selepas dilaporkan hilang pada 16 Januari lalu di Jalan Putra Mahkota, Putra Heights, Subang Jaya di sini.
 
Lapan hari selepas hilang, mayat kanak-kanak lelaki itu yang lengkap berpakaian ditemui terapung di Jeti Kampung Sungai Sireh, Pelabuhan Klang, dekat sini dan laporan awal Jabatan Kimia mengesahkan mayat kanak-kanak lelaki itu adalah William.
Terdahulu, Mohammad Zainal dalam keterangannya memberitahu, adalah mustahil bagi sesebuah benda yang sebesar kanak-kanak berusia enam tahun untuk menembusi saluran longkang sehingga sampai ke Sungai Klang.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Keng Fatt berhubung kemungkinan kanak-kanak itu terjatuh ke dalam salah satu longkang yang tertutup sebahagiannya.
 
Ini kerana katanya, saluran yang menyambung longkang dan Sungai Klang itu adalah kecil dan laluannya bengkang-bengkok, yang akan menghalang pergerakan sesuatu benda sebesar kanak-kanak.
''Tapi kalau dia jatuh di tempat lain, iaitu selain lima longkang itu, kemungkinan itu ada. Mayat itu boleh mengikut arus pergerakan air sehingga sampai ke Sungai Klang kerana tiada halangan,'' katanya.
Saksi inkues ke-21 itu juga memberitahu, hasil pemeriksaan rakaman litar kamera tertutup (CCTV) juga tidak banyak membantu.
''Semakan CCTV di kedai Onking mendapati kamera tersebut rosak beberapa hari sebelum kejadian, CCTV di premis-premis lain juga tidak memfokus kepada laluan luar,'' katanya.
 
0 Komentar untuk "William Yau Zhen Zhong - berita terkini"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top