Info Putra Heights 2016

Uthayakumar kena 2 tahun

Kuala Lumpur: Peguam, P Uthayakumar dipenjara dua tahun enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam, selepas didapati bersalah menulis surat berbaur hasutan kepada bekas Perdana Menteri Britain, Gordon Brown, enam tahun lalu. Hakim, Ahmad Zamzani Mohd Zain memerintahkan Uthayakumar menjalani hukuman itu berkuat kuasa semalam, selepas mendapati pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.
Dalam penghakimannya, Ahmad Zamzani, berkata mahkamah mengenakan hukuman itu kerana ia memandang serius kesalahan tertuduh yang didapati bersalah mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948.


Uthayakumar didakwa dengan pertuduhan pindaan iaitu menulis sepucuk surat berbaur hasutan, dialamatkan kepada Gordon Brown, yang ketika itu Perdana Menteri Britain di 10 Downing Street, London, United Kingdom.

Tertuduh yang diwakili peguam, M Manoharan dalam prosiding semalam, didakwa melakukan kesalahan itu di Nombor 135-3-A Jalan Toman 7, Kemayan Square, Seremban, Negeri Sembilan, pada 15 November 2007.

Dia menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum mengikut seksyen 4(1) akta sama, membawa hukuman maksimum denda RM5,000 atau penjara tiga tahun.

Ganggu keselamatan
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin memohon supaya tertuduh dikenakan hukuman penjara kerana kesalahannya menghamburkan tuduhan tidak berasas kepada kerajaan memerintah, adalah amat serius.

"Ia kesalahan serius, bukan kerana kami menyatakan kerajaan tidak boleh dikritik tetapi ia kerana perbuatan itu boleh mengganggu gugat ketenteraman dan keselamatan negara," katanya.

Noorin berkata, kandungan surat dialamatkan kepada pemimpin dunia luar yang menyatakan terdapat kejadian jenayah antarabangsa seperti penghapusan etnik minoriti di negara ini, jelas melampaui had dan batasan kritikan yang sah.

Katanya, perbuatan itu boleh mencemar perpaduan kaum di negara ini dan mahkamah perlu memberikan mesej jelas kepada orang ramai bahawa ia tidak memandang ringan perbuatan sedemikian.

Sementara itu, Manoharan ketika ditemui berkata beliau akan mendapatkan arahan lanjut daripada anak guamnya berhubung keputusan mahkamah itu.
0 Komentar untuk "Uthayakumar kena 2 tahun"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top