Info Putra Heights 2016

Tiga anggota polis dituduh bunuh tahanan

KUALA LUMPUR: Tiga anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan membunuh seorang tahanan dalam lokap, N Dharmendran, 21 Mei lalu.Sarjan Jaffri Jaafar, 44; Koperal Nahar Abdul Rahman, 45; dan Koperal Mohd Haswasdi Zamri Shaari, 32, didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas membunuh Dharmendran, 32.
Tiada pengakuan

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di depan Majistret Nur Al-Minatul Mardiah Md Nor.Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Siasatan Khas (D9), Tingkat 7, Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur, Jalan Hang Tuah, antara jam 12.20 tengah hari hingga 2.50 petang, 21 Mei lalu.Jaffri, Mohd Nahar dan Mohd Haswadi didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, S Nithia memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula sementara menunggu laporan kimia dan hasil bedah siasat. Peguam Datuk Hazman Ahmad yang mengetuai barisan pembelaan meminta tarikh sebutan ditetapkan dalam jangka masa singkat dengan alasan, kerana ia membabitkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM). Mahkamah kemudian menetapkan 9 Julai depan untuk sebutan kes.

Dalam prosiding itu, Peguam Datuk Baljit Singh Sidhu dan Geethan Ram Vincent turut mewakili barisan pembelaan, manakala N Surendren, Latheefa Koya dan M Manoharan bertindak sebagai peguam pemerhati bagi keluarga mangsa.Prosiding mahkamah yang bermula jam 3.30 petang penuh sesak dengan kehadiran keluarga mangsa di samping wakil media membuat liputan.

Di luar mahkamah pula, isteri Dharmendran, Marry Mariya Susay, 26, ketika ditemui, berkata beliau berpuas hati kerana semua tertuduh berjaya dihadapkan ke mahkamah.Pada 21 Mei lalu, Dharmendran, dilaporkan mati di dalam lokap D9 ketika ditahan reman berhubung kes cubaan membunuh membabitkan senjata api.Mangsa kemudian ditahan reman di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur sejak 12 Mei lalu.

Hasil bedah siasat mendapati punca kematian Dharmendran adalah disebabkan kecederaan akibat hentakan oleh objek tumpul.
0 Komentar untuk "Tiga anggota polis dituduh bunuh tahanan"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top