Info Putra Heights 2016

Surat beracun dipintas

Washington: Pihak berkuasa keselamatan memintas sepucuk surat ugutan mengandungi kimia beracun, yang ditujukan kepada Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama.

Surat yang sama mengandungi bahan kimia beracun itu sebelum ini dihantar kepada Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg, kata Perkhidmatan Rahsia, kelmarin.
Surat kepada Bloomberg dan kumpulan kawalan senjatanya dipercayai mengandungi racun ricin, yang boleh membawa maut dan mengandungi mesej mengenai kawalan senjata api, kata polis New York, Rabu lalu.


Seorang pegawai Perkhidmatan Rahsia berkata, surat itu dihantar ke Rumah Putih adalah sama, namun tidak memberi ulasan lanjut.

Unit tapisan di Rumah Putih menyerahkan surat itu kepada anggota Pasukan Tugas Khas Bersama Keganasan FBI, kata pegawai Perkhidmatan Rahsia yang enggan dikenali.

Henti penyebaran surat

Pihak berkuasa berjaya mengesan dan menghentikan beberapa surat mengandungi ricin sejak beberapa minggu lalu.
Bulan lalu, seorang lelaki dari Tupelo, Mississippi didakwa kerana menghantar surat bercampur ricin kepada Obama dan dua pegawai awam lain.

Everett Dutschke ditahan atas tuduhan menghasilkan dan memiliki ricin serta cuba menggunakannya sebagai senjata, menurut Jabatan Kehakiman.

Pihak berkuasa juga memintas sepucuk surat dihantar kepada Senator Mississippi, Roger Wicker. Ujian awal menunjukkan ia juga mengandungi ricin.

Dalam perkembangan lain, pihak berkuasa persekutuan minggu lalu menahan seorang lelaki dari Washington, Matthew Ryan Buquet, yang disyaki menghantar sepucuk surat mengandungi ricin kepada hakim daerah di Spokane.

Buquet, 37, didakwa atas tuduhan menghantar komunikasi ugutan.

Kelmarin, pejabat FBI Seattle berkata dalam satu kenyataan bahawa sepucuk surat sama mengandungi risin dihantar dari Spokane kepada Obama dan bertarikh 13 Mei lalu.

Surat yang dihantar Buquet kepada hakim di Washington ada cop pada tarikh yang sama.
 
0 Komentar untuk "Surat beracun dipintas"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top