Info Putra Heights 2016

Morsi, ahli politik Mesir tak sedar televisyen sedang rakam perbualan

Kaherah: Presiden Mesir, Mohamed Morsi dan ahli politik kanan negara itu mendapat malu selepas tidak sedar bahawa perbualan mereka disiarkan secara langsung oleh televisyen.

Penonton televisyen Mesir menyaksikan bagaimana pemimpin politik mereka membincangkan usaha mengenakan tekanan ke atas Habsyah termasuk mensabotaj rancangan membina sebuah empangan negara itu.
Rundingan itu dipengerusikan oleh Morsi dan pemimpin lain yang hadir termasuk Ayman Nour yang memimpin Parti Ghad dan Yunis Makhyun dari Parti Nur Islam.


Mereka membincangkan kerjasama suruhanjaya Mesir-Sudan-Habsyah, khususnya keputusan Habsyah mengalihkan projek pembinaan empangan di Sungai Nil Biru yang dianggap memberi kesan buruk kepada negara di hilir iaitu Mesir dan Sudan.

Mesir percaya ia memiliki hak kepada sungai Nil menerusi perjanjian pada 1929 dan 1959 memberikannya 87 peratus aliran sungai itu dan kuasa veto ke atas projek di hulunya.

Tetapi, perjanjian baru 2010 yang turut membabitkan Habsyah membenarkan negara di hulu sungai menggerakkan projek tanpa kebenaran Kaherah.

Sebar khabar angin
Nour mencadangkan supaya khabar angin disebarkan bahawa Mesir membeli jet tempur untuk mengenakan tekanan ke atas Habsyah.

Beliau juga menyarankan Kaherah menghantar pasukan tentera, perisikan dan politik ke Addis Ababa untuk campur tangan dalam hal ehwal tempatan.

Makhyun pula menyifatkan empangan itu sebagai ancaman strategik terhadap Mesir dan perlu mendapatkan bantuan gerila Habsyah untuk mengenakan tekanan ke atas kerajaan berkenaan.

Berikutan itu, penasihat Morsi meminta maaf selepas gagal memaklumkan ahli politik terbabit bahawa perbualan mereka disiarkan secara langsung.

"Keputusan dibuat pada saat akhir untuk membenarkan perbualan mereka dirakam secara langsung kerana topik perbincangan adalah penting. Saya terlupa memberitahu mereka mengenainya," kata penasihat hal ehwal politik presiden, Pakinam El-Sharkawi.

"Saya minta maaf kepada semua pemimpin politik yang mendapat malu," katanya di Twitter
0 Komentar untuk "Morsi, ahli politik Mesir tak sedar televisyen sedang rakam perbualan"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top