Info Putra Heights 2016

Mirzan tiada saham, jawatan Petron Malaysia

Petron Malaysia Refining & Marketing Bhd (Petron Malaysia) menjelaskan bahawa Mirzan Mahathir tidak memiliki sebarang saham atau mempunyai sebarang jawatan dalam syarikat itu.Anak syarikat Petron Corporation (Petron Corp) dari Filipina itu menjelaskan demikian kepada Bursa Malaysia semalam bagi menjawab soalan seorang pemegang saham pada Mesyuarat Agung Tahunannya (AGM) baru-baru ini berhubung pegangan kepentingan Mirzan dalam Petron Malaysia, syarikat induknya serta syarikat pegangan utamanya iaitu San Miguel Corporation.
Petron Malaysia menjelaskan bahawa Mirzan ialah Ahli Lembaga Pengarah syarikat induknya iaitu Petron Corp. Beliau dilantik sebagai Pengarah Petron Corp pada 13 Ogos 2010 dengan mempunyai hanya 1,000 saham.

"Di bawah peraturan sampingan syarikat itu (Petron Corp), seorang individu mestilah menjadi pemegang saham untuk melayakkannya menjadi Pengarah," kata Petron Malaysia dalam kenyataan berkenaan sambil menambah Petron Corp mempunyai sejumlah 9.4 bilion saham yang disenaraikan di Bursa Saham Filipina.

Syarikat itu menjelaskan, sebelum dilantik menjadi Pengarah dalam Petron Corp, Mirzan adalah Pengarah San Miguel Corp dalam tempoh singkat antara 1 September 2009 hingga 15 April 2010.

Beliau kini, katanya hanya mempunyai 5,000 saham dalam San Miguel.
San Miguel mempunyai sejumlah 3.3 bilion saham yang disenaraikan di Bursa Saham Filipina, kata syarikat itu.

Pengerusi dan Ketua Eksekutif Petron Corp, Ramon S Ang dalam kenyataan berkata, maklumat dan penjelasan itu diharap dapat menghentikan spekulasi berhubung Mirzan yang dilihat tidak adil kepada keluarga mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, saham yang dimiliki Mirzan dalam San Miguel Petron Corp pada asasnya hanya untuk melayakkan beliau untuk dilantik sebagai Pengarah syarikat Filipina itu.

"Mirzan ialah Pengarah Petron Corp disebabkan inisiatif saya sendiri. Kami bertemu pada 1990-an dan menjadi rakan sejak itu. Tambahan pula, pencapaian profesional Mirzan menjelaskan segala-galanya," katanya.

Ang menegaskan, San Miguel, Petron Corp dan Petron Malaysia adalah syarikat senaraian awam yang mematuhi standard tadbir urus yang paling ketat.

"Justeru, adalah mudah bagi sesiapa saja untuk melihat bahawa Mirzan tidak memainkan sebarang peranan dalam pengurusan syarikat berkenaan," katanya.
0 Komentar untuk "Mirzan tiada saham, jawatan Petron Malaysia"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top