Info Putra Heights 2016

Lima artis berjaya halang AGM ke-15 Seniman

KUALA LUMPUR 31 Mei - Lima penggiat seni hari ini berjaya dalam permohonan mereka di Mahkamah Tinggi di sini untuk menghalang Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) mengadakan mesyuarat agung ke-15 persatuan itu di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) esok.
 
Peguam, Zambri Idrus yang mewakili Seniman dan tujuh lagi defendan memberitahu, Hakim Rosilah Yop memutuskan demikian di kamar hakim ekoran terdapat alasan kukuh untuk perintah injunksi terbabit sehingga kes tersebut selesai.
Pada 22 Mei lalu, lima penggiat seni yang terdiri daripada Abu Bakar Omar, Sahlan Sudiran (S. Sahlan), Roslinda Buang (Linda Buang), Mior Ahmad Zaudi Mior Ali dan Datuk Abdullah Sani (Sonny Abdullah) telah memfailkan permohonan injunksi selepas persatuan itu mengeluarkan notis mesyuarat pada 14 Mei lalu.
 
Permohonan itu dikemukakan dengan alasan saman induk masih berjalan di mahkamah dan sebarang keputusan mahkamah akan mempengaruhi sebarang pemilihan yang akan diadakan pada mesyuarat agung tersebut.
Kelima-lima penggiat seni itu selaku pihak plaintif diwakili peguam Wan Rohimi Wan Daud.
Dalam saman yang difailkan pada 25 Januari lalu, pihak plaintif menamakan Seniman dan bekas bekas presidennya, Harun Salim Bachik, Omar Kamarudin @ Yusof Kelana dan Wafa A. Kadir sebagai defendan pertama hingga keempat.
Rozaidi Abdul Jamil yang lebih dikenali sebagai Zed Zaidi, Elyas Ismail, Syed Ahmad Nahar Syed Mokhtar (Syean) dan Zaharudin Wahab (Den Wahab) turut disenaraikan sebagai defendan kelima hingga kelapan.
 
Menurut pernyataan tuntutan, defendan kedua, ketiga dan keempat merupakan Presiden, Setiausaha, Bendahari Seniman bagi sesi 2009/2012 sementara defendan kelima ketika itu Pemangku Timbalan Presiden (kini presiden) manakala defendan keenam pula, salah seorang ahli jawatankuasa persatuan.
Plaintif antaranya menuntut pengisytiharan antaranya mesyuarat agung persatuan tersebut kali ke-14 pada 26 Mei tahun lalu, sebagai terbatal dan tidak sah.
 
Selain itu, pihak plaintif turut menuntut satu perintah agar RM56,000 dibayar kepada Seniman dalam tempoh sebulan oleh defendan kedua hingga keempat.
Pihak plaintif juga menuntut ganti rugi am serta ganti rugi teladan yang tidak dinyatakan jumlahnya.
Perbicaraan kes itu akan bermula 2 hingga 4 Oktober ini.
 
0 Komentar untuk "Lima artis berjaya halang AGM ke-15 Seniman"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top