Info Putra Heights 2016

FAM kena berubah!

Kuala Lumpur: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegaskan berdasarkan keadaan semasa dalam Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) mutu bola sepak negara tidak akan berubah.Beliau berkata demikian kerana FAM dilihat gagal memberi layanan adil kepada gabungan, tidak membenarkan persatuan dan individu menyuarakan pendapat, selain membuat keputusan dan mengubah peraturan sewenang-wenangnya.
FAM juga lebih gemar mengundang pasukan luar seperti Chelsea untuk beraksi di negara ini tetapi mengabaikan pembangunan bakat baru daripada kalangan belia dan hal-hal kritikal berkaitan bola sepak negara.


"Mungkin 20 tahun daripada sekarang pun, kita akan menghadapi kemelut yang sama jika keadaan semasa ini tidak diperbaiki," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Sebagai contoh, katanya ketika beliau dikenakan tindakan penggantungan selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), beliau dimaklumkan tiada sesiapa pun berada di atas undang-undang.

Beliau berkata, segala hukuman dikatakan akan dijatuhkan oleh Lembaga Disiplin dan Tatatertib FAM.

Bagaimanapun, katanya dalam kes Pahang menentang Johor Darul Takzim (DT) ketika aksi separuh akhir Piala FA, hukuman dijatuhkan oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM.
"Kita juga tidak diberikan ruang membuat sebarang rayuan atas denda itu. Pada saya, ia bukanlah soal kewangan, tetapi soal keadilan dalam layanan terhadap persatuan bola sepak.

"Ini jelas menunjukkan bahawa FAM boleh membuat keputusan dan mengubah peraturan sewenang-wenangnya," kata Tunku Ismail.

0 Komentar untuk "FAM kena berubah!"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top