Info Putra Heights 2016

FAM ada program tapi faktor kewangan terhad: Tengku Abdullah.'100 tahun pun tak cukup'

Kuala Lumpur: Jangan kata 20 tahun, 100 tahun sekali pun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak boleh berubah jika tidak mendapat sokongan semua pihak.

Demikian reaksi Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berhubung kenyataan Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menegaskan mutu bola sepak negara tidak akan berubah berdasarkan keadaan semasa yang melanda FAM selain menyifatkan badan induk itu mengabaikan pembangunan bakat baru daripada kalangan belia.
"FAM ada program pembangunan yang tersendiri tetapi dengan faktor kewangan yang terhad.


Perlu dapat sokongan

"Soal pembangunan ini, bukan hanya terletak di tangan FAM semata-mata sebaliknya perlu mendapat sokongan atau kerjasama daripada semua pihak termasuk persatuan negeri, kerajaan dan pihak swasta.

"Jika FAM saja memang tidak mencukupi," katanya ketika ditemui selepas merasmikan temasya sukan Piala Gurdwara ke-62 dan Festival Sukan Sikh 2013 di sini, semalam.

Tunku Ismail dalam kenyataan kelmarin turut mempersoalkan kewibawaan FAM yang disifatkan tidak adil kerana Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) dihukum oleh Lembaga Disiplin dan Tatatertib, bukan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM selepas gagal menangani aspek keselamatan ketika aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Darul Makmur.
Mengulas lanjut, Tengku Abdullah berkata: "Itu perlu dijawab oleh pihak pentadbiran FAM dan hanya mereka yang berhak untuk membuat keputusan," katanya yang juga Tengku Mahkota Pahang.

Tiada kepastian

Mengenai dakwaan Tunku Ismail bahawa Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) masih belum menerima bayaran daripada siaran langsung oleh Astro, Tengku Abdullah berkata, beliau tidak berapa pasti mengenai kontrak dengan televisyen berbayar itu secara terperinci.

"Jika ia sudah termaktub dalam perjanjian, FAM perlu membayarnya kepada persatuan negeri," katanya.

Ditanya mengenai kelantangan Tunku Ismail dalam memberi kenyataan yang lebih menjurus kepada kritikan kepada FAM, Tengku Abdullah menjawab: "Itu hak beliau dan mungkin atas kapasiti sebagai Tengku Mahkota Johor.

"Saya tidak perlu jawab kenyataan beliau. Jika kenyataan itu menyumbang kepada kebaikan, kita boleh jadikan iktibar dan kita perlu terima.

"Namun, jika faktanya tidak benar, kita perlu perbetulkan," kata Tengku Abdullah
0 Komentar untuk "FAM ada program tapi faktor kewangan terhad: Tengku Abdullah.'100 tahun pun tak cukup'"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top