Info Putra Heights 2016

Dakwaan tipu PRU-13 direka telah lama

PUTRAJAYA 3 Jun - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, dakwaan berlaku penipuan besar-besaran dalam pilihan raya umum lalu sebenarnya merupakan jalan cerita (storyboard) yang direka sesetengah pihak berbulan-bulan lebih awal sebelum hari mengundi.
Perdana Menteri berkata, rancangan itu menyebabkan ramai yang terpedaya sehingga mewujudkan paranoid pada hari mengundi apabila ada rakyat yang dihalang mengundi hanya kerana mempunyai warna kulit hitam manis.
 
Ia dimuat naik dalam laman YouTube kononnya kita merancang penipuan dalam pilihan raya, ia membawa keadaan paranoid pada hari mengundi.
Ramai yang percaya dan ada yang sanggup tahan rakyat yang berkulit hitam manis. Mereka terpedaya dengan cerita yang bertujuan mempertikai kredibiliti proses pilihan raya Malaysia," katanya ketika berucap dalam perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.
Perhimpunan pertama yang diadakan selepas pilihan raya pada 5 Mei itu dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri-Menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Idris Jala, Tan Sri Joseph Kurup, Datuk Joseph Entulu Belaun, Datuk Seri Shahidan Kassim, Nancy Shukri dan Datuk Paul Low.
 
Yang turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa.
Najib berkata, semua pihak yang memahami proses pilihan raya tahu bahawa penipuan besar-besaran mustahil dilakukan kerana setiap pusat mengundi telah diawasi oleh ejen parti yang merupakan orang tempatan dan mengenali pengundi.
Kalau ada orang asing yang cuba dijadikan sebagai pengundi, sudah tentu ejen akan bantah dan protes.
Dakwaan bahawa kita import 40,000 warganegara Bangladesh adalah tidak masuk akal kerana 100 buah jet jumbo dan 1,000 buah bas diperlukan untuk mengangkut mereka," katanya.
Sehubungan itu Perdana Menteri mengajak rakyat dan penjawat awam mengorak langkah ke depan serta tidak membuang masa dengan terlibat dalam politik berlebihan.
 
Najib berkata, proses pilihan raya telah selesai kira-kira sebulan lalu dan tindakan menoleh ke belakang hanya akan mengalih perhatian daripada perkara lebih serius iaitu menunaikan amanah rakyat.
Beliau berkata, hampir semua pemimpin dunia termasuk dari Amerika Syarikat, China, United Kingdom dan negara-negara ASEAN telah mengucapkan tahniah, tanda mereka mengiktiraf mandat yang diberikan kepada Barisan Nasional (BN).
Menteri Luar Australia (Senator Bob Carr) sendiri telah menyatakan dengan jelas bahawa pilihan raya yang diadakan di Malaysia sebagai boleh dipercayai," katanya.
 
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan terus melakukan perubahan melalui agenda transformasi negara di mana program-program di bawahnya mungkin perlu dipercepat dan diperkukuhkan.
Satu kelemahan yang dikesan mungkin kita tidak cekap dalam menangani perang persepsi, ini perlu ditangani dan diberi perhatian. Persepsi boleh diwujud dengan pelbagai cara, bukan sahaja secara bersemuka tetapi melalui Facebook," katanya
0 Komentar untuk "Dakwaan tipu PRU-13 direka telah lama"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top