Info Putra Heights 2016

ATM ikrar sekat Lions XII

KUALA LUMPUR - Di atas kertas nampaknya semakin sukar mengejar kedudukan Lions XII di tangga teratas liga namun jurulatih Angkatan Tentera Malaysia (ATM), B. Sathianathan yakin masih ada peluang buat pasukannya untuk menjulang trofi Liga Super musim ini.
Sedar jurang lima mata bukan satu perkara yang mudah untuk dikejar oleh ATM memandangkan baki perlawanan hanya tinggal empat sahaja lagi, dia hanya mampu memikirkan aksi anak-anak buahnya sambil berharap Lions XII akan keciciran mata terutama bermain di tempat lawan.
Namun, sekiranya gagal, bekas pengendali skuad kebangsaan dan Kelantan itu tetap berpuas hati kerana sasaran asal mereka untuk berada di kalangan tiga pasukan terbaik semakin menjadi kenyataan.
''Apa yang penting, pasukan saya perlu mengutip mata penuh dalam kesemua perlawanan sebelum memikirkan peluang kami dalam kejuaraan Liga Super.
 
''Lions XII masih perlu melalui dua perlawanan di tempat lawan iaitu bertemu Perak dan Kelantan, jadi saya fikir peluang masih ada pada kami.
''Perak bukanlah sebuah lawan yang mudah dan begitu juga Kelantan yang sukar tewas di tempat sendiri, jadi mungkin di situ kami boleh mencuri peluang itu jika Lions XII keciciran mata," katanya ketika dihubungi.
Sathianathan menegaskan, jika memang tiada rezeki buat ATM, dia tetap berpuas hati dengan pencapaian pasukannya memandangkan penyertaan kali pertama dalam saingan Liga Super.
''Ini tahun sulung kami dalam Liga Super dan terus berada di kalangan tiga pasukan teratas adalah satu pencapaian yang saya anggap cukup baik serta bukan mudah untuk dilakukan.
''Memang sasaran awal kami pun mahu berada di kalangan tiga terbaik dan jika kami muncul juara, saya anggap itu sebagai satu bonus kepada ATM," katanya.
Pun begitu, dia menyatakan kekesalan kerana dalam beberapa perlawanan terdahulu ATM melepaskan peluang meraih kemenangan yang menyebabkan jurang mata dengan Lions XII begitu jauh.
''Ada tiga perlawanan yang saya sifatkan kami melepaskan banyak mata berharga iaitu ketika kalah (1-2) kepada Negeri Sembilan baru-baru ini, tewas di tangan Lions XII (0-1) semasa beraksi di tempat sendiri dan kepada Terengganu (2-3)," katanya.
 
0 Komentar untuk "ATM ikrar sekat Lions XII"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top