Info Putra Heights 2016

Trofi liga super hampir pasti ke Singapura

Singapura: Lions XII makin hampir untuk menjulang kejuaraan Liga Super buat pertama kali selepas menewaskan PKNS FC 3-1 di Stadium Jalan Besar, Singapura, malam tadi.

Tiga gol yang dicipta pada babak kedua menerusi Hariss Harun serta dua pemain gantian, Nazrul Nazari dan Khairul Nizam sudah cukup buat skuad kendalian V Sundramoorthy yang mengambil kesempatan beraksi di 'stadium keramat' skuad dari Seberang Tambak itu mengekalkan tampuk liga elit domestik dengan mengumpul 38 mata ketika aksi liga berbaki empat perlawanan.
Penguasaan awal jelas milik tuan rumah apabila mencemaskan gawang pelawat dan ia bermula seawal minit kelapan menerusi bola rembatan Faris Ramli yang menerima bola hantaran lintang Gabriel Quak disusuli dua minit kemudian apabila penjaga gol, Izwan Mahbud mencuba nasib menerusi sepakan percuma dari luar kotak penalti.


Lions rakus

Selepas rehat, tuan rumah begitu rakus mengasak kubu PKNS FC dan berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-53 selepas bola sepakan sudut Shahril tepat kepada Hariss yang tidak dikawal melonjak tinggi untuk menanduk bola menewaskan Mohd Remezey.

Serang balas tuan rumah pada minit ke-59 menjelmakan gol kedua apabila bola rembatan Nazrul pada sudut sukar ketika berada di dalam kotak penalti terbias pertahanan PKNS FC menyukarkan Mohd Remezey untuk menyelamatkan bola dari menerjah jaring dan ketika aksi memasuki minit ke-74 pelawat terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas kapten Mohd Helmi Remeli dilayangkan kad merah kerana mengasari Shahril.

Jaringan Khairul hasil bola tolakan Farizt Hameed pada minit k-88 mengekalkan rekod bersih tanpa kalah tuan rumah di laman sendiri ketika usaha PKNS FC cuba bangkit selepas mencipta jaringan minit terakhir menerusi Patrick Ronaldinho namun sudah terlewat untuk menyekat tuan rumah `berpesta' dengan kemenangan.
0 Komentar untuk "Trofi liga super hampir pasti ke Singapura"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top