Info Putra Heights 2016

Tok Mun - 182 undi

KUALA TERENGGANU: Calon paling tua pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Maimun Yusof, 94, yang bertanding di kerusi Parlimen Kuala Terengganu atas tiket Bebas tetap gembira walaupun hanya memperoleh 182 undi yang sekaligus hilang wang pertaruhan.

Maimun yang lebih mesra dengan panggilan Tok Mun berkata biarpun tidak memperoleh undi yang banyak namun ia tidak mengecewakan kerana masih ada yang mengundinya.
Warga emas itu mengakui agak gementar pada proses pengumuman yang dilakukan di Stadium Negeri, malam tadi.


"Mulanya Tok rasa agak berdebar, tambah-tambah bila tengok banyak gambar dacing namun kini Tok lega...Tok terima dengan hati terbuka keputusan ini.

"Tok tidak kisah kalah atau menang itu adalah adat bertanding," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Tok Mun berkata, beliau bersiap seawal jam 7.30 malam untuk ke tempat pengiraan undi.

Warga emas itu hadir di tempat pengiraan undi seorang diri dengan menaiki kereta yang ditempah khas.
Walaupun tahu keputusan tidak memihak kepadanya namun tetap setia menunggu sehingga keputusan selesai diumumkan Pegawai Pengurus SPR Datuk Adzlan Mohd Dagang.

"Tok nak ucapkan bebanyak terima kasih kepada pengundi Tok walaupun Tok tidak kenal mereka, tapi mereka tetap memangkah Tok dan buktinya mereka masih sayangkan Tok," katanya.

Beliau berkata, walaupun jumlah undi semakin berkurangan dan wang pertaruhan sekali lagi hangus, beliau tidak menyesal kerana sudah dapat melaksanakan amanah yang diberikan.

Maimun bertanding merebut kerusi Parlimen Kuala Terengganu menentang calon Barisan Nasional (BN) Mohd Zubir Embong dan calon PAS Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad yang memenangi kerusi berkenaan.

Pada 2008, Maimun yang juga bertanding atas tiket Bebas di kawasan parlimen yang sama dan hilang wang deposit selepas hanya memperoleh 685 undi menentang calon BN (Allahyarham) Datuk Razali Ismail dan calon PAS Mohamad Sabu
0 Komentar untuk "Tok Mun - 182 undi"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top