Info Putra Heights 2016

Saingan separuh akhir kedua Piala FA bakal memeritkan kerana diadakan jam 4.15 petang Sabtu ni

Kelana Jaya: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), semalam memutuskan perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara Pahang dan Johor Darul Takzim (DT) akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.

Lebih memeritkan kepada kedua-dua pasukan perlawanan itu bukan diadakan pada sebelah malam, sebaliknya dalam keadaan cuaca agak panas dengan sepak mula ditetapkan pada jam 4.15 petang.
Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, berkata jawatankuasa itu memutuskan perlawanan itu diadakan di gelanggang berkecuali selepas aksi yang sepatutnya berlangsung di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam kelmarin dibatalkan kerana insiden kekecohan kedua-dua pasukan.


Beliau berkata, perlawanan terpaksa dilangsungkan pada sebelah petang kerana lampu limpah di Stadium Nasional masih belum siap dibaik pulih.


90,000 tiket


"Kita juga tidak dapat mengadakan perlawanan pada sebelah malam di Stadium Shah Alam kerana stadium berkenaan sudah ditempah lebih awal untuk menganjurkan konsert," katanya pada sidang media di Wisma FAM, semalam.
Beliau berkata, sebanyak 90,000 tiket yang setiap satu berharga RM15 disediakan dan akan mula dijual di kaunter Stadium Nasional bermula jam 9 pagi esok serta pada hari perlawanan.

"Peruntukan tiket untuk kedua-dua pasukan belum ditetapkan lagi kerana buat masa ini persatuan negeri belum lagi membuat tempahan. Bagaimanapun, kami akan menetapkan peratusan pembahagian tiket secara 50-50.

"Pahang tetap sebagai tuan rumah tetapi urusan tiket dan keselamatan adalah di bawah kelolaan FAM. Selepas ditolak kos pengurusan dan penganjuran, hasil jualan tiket akan diberikan kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP)," katanya.

Mengenai penyokong yang sudah pun membeli tiket di Stadium Darul Makmur, malam kelmarin, Hamidin berkata, wang boleh ditebus semula di Pejabat PBNP dan mereka yang berminat ke Bukit Jalil, Sabtu ini perlu membeli tiket baru.

Pemenang perlawanan ini akan bertemu juara bertahan, Kelantan pada final, 29 Jun ini.
0 Komentar untuk "Saingan separuh akhir kedua Piala FA bakal memeritkan kerana diadakan jam 4.15 petang Sabtu ni"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top