Info Putra Heights 2016

Real tangguh hajat Barcelona

Pendahulu La Liga, Barcelona terpaksa menunggu sekurang-kurangnya seminggu lagi untuk mengesahkan kejuaraan selepas Cristiano Ronaldo meledak dua gol bagi membolehkan Real Madrid yang berada di tangga kedua meraih kemenangan 4-3 ke atas Real Valladolid, semalam.
Seandainya Real tewas pada perlawanan selepas ini dan Barcelona meraih kemenangan menentang Real Betis hujung minggu ini maka gelaran pasti menjadi milik pendahulu La Liga itu.
 
Pengurus Real, Jose Mourinho menolak untuk berputus asa dalam memburu gelaran liga tanpa menjadikannya sesuatu yang sukar buat pencabar terdekat mereka hingga tamat kempen musim ini.
"Kami akan terus bekerja keras.
"Kami tahu ini satu saingan yang sukar namun kami tetap bangga mewakili kelab dengan menyarung jersi pasukan hingga tamat saingan musim ini," kata pemain pertahanan Real, Pepe pula.
Pada perlawanan semalam, Valladolid yang belum pernah memenangi sebarang mata di Bernabeu lebih sedekad membuat kejutan apabila mendahului jaringan pada minit kelapan menerusi Oscar Gonzalez menewaskan penjaga gol Real, Diego Lopez.
Real yang dapat menyamakan kedudukan pada minit ke-26 hasil jaringan Angel Di Maria sebelum Ronaldo meledak gol kedua Real minit ke-32.
Valladolid tidak menunggu lama untuk mengejar kedudukan jaringan menerusi Javi Guerra pada minit ke-35, namun Kaka berjaya membantu Real mendahului empat minit selepas separuh masa kedua berlangsung.
Selepas jaringan ketiga Real, tuan rumah terus melebarkan kedudukan hasil gol kedua Ronaldo pada minit ke-70, manakala satu lagi gol Valladolid hadir menerusi Lluis Sastre, minit ke-87.
Kemenangan Real itu membolehkan mereka mengumpul 77 mata daripada 34 perlawanan, lapan mata di belakang Barcelona.
Sementara itu, kemenangan Valencia ke atas Osasuna dengan keputusan 4-0 seakan menghidupkan peluang kelab itu untuk beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara musim depan.
Keputusan lain menyaksikan Malaga tewas 0-1 kepada Granada manakala Deportivo La Coruna seri 0-0 menentang Atletico Madrid.
 
0 Komentar untuk "Real tangguh hajat Barcelona"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top