Info Putra Heights 2016

Putrajaya: Mengembangkan infrastruktur komunikasi dan caj internet lebih murah, antara fokus utama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek bagi memastikan pendemokrasian komunikasi dalam kalangan rakyat.
Beliau berkata, perbincangan awal mendapati pengurangan caj internet boleh dilakukan yang dapat memberi manfaat kepada pelbagai pihak termasuk peniaga kecil dan untuk itu, kajian mengenai perbandingan caj dengan negara lain akan dilakukan.

Saya lihat ada beberapa perkara yang perlu dilihat kembali misalnya liputan secara langsung soal jawab di Parlimen" Ahmad Shabery Cheek, Menteri Komunikasi dan Multimedia

"Kemudahan komunikasi sudah jadi perkara asas. Dulu jalan raya, elektrik dan air, sekarang liputan telefon dan jalur lebar," katanya selepas majlis serah tugas di antara beliau dan bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim serta Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Kaji masalah 'drop call'

Shabery berkata, undang-undang untuk melindungi rakyat turut diberi perhatian termasuk mengenai masalah panggilan terputus atau 'drop call' serta caj jalur lebar sekiranya perkhidmatan itu terputus selama beberapa hari.

Katanya, beliau juga komited meneruskan pelaksanaan ideologi berasaskan kebebasan bersuara melalui kementeriannya dengan perbincangan akan diadakan dengan semua pihak bagi memperhalusi maksud kebebasan bersuara dan hadnya bagi individu, kepentingan nasional dan kepentingan awam.
"Ada negara yang mungkin kebebasannya membenarkan sesiapa saja mempunyai stesen televisyen... setiap parti politik dan kumpulan etnik. Apakah ia memberikan kesan dan impak positif kepada negara dan sebagainya? Ini perkara yang perlu dihalusi dan diteliti," katanya.

Mengenai liputan yang adil dan saksama terhadap parti pemerintah dan pembangkang melalui media milik kerajaan, beliau berkata, ia bukan soal pemerintah atau pembangkang, sebaliknya yang penting adalah rakyat.

"Saya lihat ada beberapa perkara yang perlu dilihat kembali misalnya liputan secara langsung soal jawab di Parlimen. Apakah perlu dikembangkan selepas ini dengan cara yang lebih lagi dan perkara yang membolehkan rakyat mendapat akses.

Percepat laksana TV digital

"Sebab itu, kita perlu percepatkan pelaksanaan televisyen digital supaya jumlah saluran lebih banyak seperti saluran berita yang lebih efektif yang bukan saja mengutarakan pendapat, tetapi membuat liputan berkaitan rakyat, lebih banyak berita terkini berkaitan soal kepentingan awam dan sebagainya," katanya.

Mengenai pengguguran perkataan 'penerangan' daripada kementerian itu, Shabery berkata, ia sebahagian daripada transformasi kerajaan kerana perkataan itu sendiri menggambarkan kaedah lama bagaimana kerajaan berkomunikasi dengan orang ramai.

Rais dalam ucapannya, berkata sembilan jabatan di bawah kementerian terdahulu akan diletakkan di bawah teraju Shabery, manakala 10 lagi di bawah Nazri.
0 Komentar untuk " "

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top