Info Putra Heights 2016

Perlawanan persahabatan Harimau Muda teruk

BARANGKALI kegagalan Harimau Muda memburu kemenangan sulung sepanjang 'berguru' di Eropah kali ini sedikit sebanyak mula menerbitkan perasaan resah sebahagian besar peminat bola sepak tempatan.
Ternyata, lima kekalahan dan dua keputusan seri yang dicetak skuad kendalian Ong Kim Swee sepanjang aksi persahabatan di sana setakat ini, sememangnya bukan satu statistik cukup membanggakan.
Suka atau tidak, keputusan itu seolah- olah memberikan tamparan hebat buat skuad muda negara dalam usaha mempertahankan emas bola sepak temasya Sukan SEA di Myanmar, Disember depan.
Enggan menekan butang panik, Kim Swee sebaliknya mahu anak-anak buahnya menjadikan situasi tersebut sebagai satu iktibar dan pengajaran paling berguna buat mereka semua.
 
"Kekalahan demi kekalahan akan dijadi- kan iktibar buat para pemain Harimau Muda agar sentiasa memperbaiki dan mempelajari sesuatu daripada pengalaman yang telah dilalui.
"Intensiti perlawanan yang cukup tinggi dengan pihak lawan yang cukup matang banyak memberikan kesukaran kepada kami dalam setiap perlawanan yang diharungi setakat ini," kata Kim Swee menerusi Twitter peribadinya semalam.
Untuk rekod, skuad muda negara tumpas 0-3 kepada kelab Hungary, Kaposvari FC dalam aksi persahabatan terakhir mereka di Budapest baru-baru ini.
Mereka juga tewas sebanyak dua kali dalam dua pertemuan dengan kelab Slovakia, MSK Zilina (1-4 dan 2-3) serta dibelasah 1-7 oleh skuad bawah 21 tahun (B-21) Georgia selain terpaksa akur dengan kehebatan kelab divisyen satu Hungary, FGSZ Siofok apabila tumpas 0-4 di Budapest minggu lalu.
Selain itu, taring Harimau Muda juga tampak tumpul apabila sekadar melakar keputusan seri 1-1 dengan skuad B-19 Slovakia serta terikat tanpa jaringan ketika berdepan skuad B-19 Norway sebelum ini.
Kim Swee memberitahu, beliau kini memberikan tumpuan bagi menganalisis semua kelemahan dalam segenap aspek bagi menghadapi aksi persahabatan seterusnya selepas ini.
 
"Skuad Harimau Muda kini kembali menjalani latihan di Slovakia dan bakal berdepan Nitra FC (7 Mei).
"Selepas itu, kami hanya akan memberi fokus pada sesi latihan selama dua minggu sebelum bertolak ke Republik Czech (bagi mengharungi beberapa aksi persahabatan di sana)," katanya.
Siri ujian persahabatan itu merupakan medan pemanas badan skuad muda negara sepanjang berguru selama lima bulan di Slovakia sebagai persiapan awal mempertahankan pingat emas pada temasya Sukan SEA 2013 di Myanmar penghujung tahun ini.
Selain dijadualkan mengharungi Pestabola Merdeka (Ogos), Harimau Muda juga membawa cabaran negara dalam temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2013 di Kazan, Rusia dari 6 hingga 17 Julai depan dan hanya kembali ke tanah air sebelum Aidilfitri.
0 Komentar untuk "Perlawanan persahabatan Harimau Muda teruk"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top