Info Putra Heights 2016

Pas hilang Kedah, merosot di Kelantan

KUALA LUMPUR - Selain hilang Kedah, Pas hanya peroleh 21 kerusi Parlimen serta hilang lima kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) di Kelantan, iaitu daripada 37 kerusi kepada 32 kerusi Dun pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Bagaimanapun Pas berjaya meningkat penguasaannya di peringkat Dun dengan peroleh 85 kerusi berbanding 83 kerusi pada pilihan raya umum 2008 iaitu di Terengganu, Johor, Melaka dan Selangor.

Beberapa pemimpin tertinggi Pas juga tewas kepada BN pada PRU13 termasuk Timbalan Presidennya Mohamed Sabu di Kedah, Naib Presiden Salahuddin Ayub di Johor dan seorang lagi Naib Presiden Datuk Husam Musa di Putrajaya.

PRU13 menyaksikan Pas kalah 52 kerusi daripada 73 kerusi Parlimen yang ditandinginya dengan hanya peroleh 21 kerusi Parlimen.

Ia sekali gus memperlihatkan kemerosotannya berbanding pada 2008 apabila parti itu kalah di 43 kerusi daripada 66 kerusi Parlimen ditandinginya dan memperoleh 23 kerusi.

Genggaman 21 kerusi Dun Kedah oleh pakatan pembangkang pada 2008, kini terlepas apabila BN menguasai 22 daripada 36 kerusi DUN Kedah pada PRU13 yang menyaksikan kerajaan negeri Pas hanya memerintah sepenggal negeri Jelapang Padi itu.

Bagaimanapun, Pensyarah Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategi Universiti Malaya Prof Datuk Mohamad Abu Bakar berkata biarpun merosot di peringkat Parlimen namun Pas berjaya mengukuhkan kedudukannya di peringkat Dun.

"Pas telah meningkatkan kedudukan di peringkat Dun dengan peroleh 85 kerusi pada PRU13 berbanding 83 kerusi pada 2008," katanya kepada Bernama.

Prof Mohamad berkata Pas bersama PKR berjaya mengekalkan Kelantan dengan peroleh dua pertiga daripada 45 kerusi DUN, iaitu 32 Pas dan satu kerusi PKR.

Berbanding 2008, Pas memiliki 37 kerusi Dun, PKR (satu) dan BN (tujuh) di Kelantan manakala parti itu memperoleh 12 kerusi Parlimen dan BN hanya dua kerusi.

Bagaimanapun Pas hanya menguasai sembilan daripada 14 kerusi Parlimen di Kelantan dengan lima kerusi itu berjaya direbut BN dalam PRU13.

Pilihan raya kali ini juga menyaksikan Pas hanya menguasai satu daripada 15 kerusi Parlimen di Kedah diikuti sekutunya PKR empat kerusi manakala BN 10 kerusi.

Pada 2008, masing-masing mengekalkan lima kerusi Parlimen di Kedah bagi Pas, PKR dan BN.

PRU13 juga menyaksikan Pas merupakan parti pakatan pembangkang yang peroleh jumlah yang kecil untuk Parlimen berbanding DAP 38 kerusi dan PKR 30 kerusi
0 Komentar untuk "Pas hilang Kedah, merosot di Kelantan"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top