Info Putra Heights 2016

NGO buat laporan polis berhubung gerakan edar Bible berbahasa Melayu

PULAU PINANG 3 Mei - Persatuan Muka Buku Pulau Pinang (PMBPP) tampil membuat laporan polis berhubung wujud gerakan mengedarkan Bible berbahasa Melayu yang mengandungi kalimah Allah.
Pengerusinya, Mohd. Salleh Ismail berkata, beliau terkejut dengan penemuan terbaru itu yang dilihat sengaja mahu mencabar Perlembagaan Negara dan langsung tidak menghormati sensitiviti umat Islam di negara ini.
Menurutnya, beliau mahu satu siasatan lengkap dilakukan berhubung perkara itu dan tindakan tegas diambil kepada mereka yang terlibat memandangkan pengunaan kalimah Allah dalam Bible berbahasa Melayu mendapat bantahan umat Islam.
 
"Kita ingat selepas membuat laporan mengenai gerakan mengedarkan Bible di hadapan sekolah di Jelutong dahulu, perkara begini tidak lagi berulang tetapi kini mereka semakin berani pula dengan mengedarkan Bible berbahasa Melayu yang turut mengandungi kalimah Allah.
"Perkara ini sudah semakin serius dan kami harap rakyat Malaysia terutamanya umat Islam akan lebih rasional untuk bersama-sama membanteras perkara ini kerana ia melibatkan soal akidah," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Balai Polis Lebuh Pantai di sini hari ini.
Januari lalu, PMBPP telah tampil membuat laporan polis berhubung kegiatan mengedarkan Bible di hadapan sebuah sekolah di Jelutong di sini yang turut diberikan kepada pelajar beragama Islam.
 
Mohd. Salleh dalam pada itu menambah, bahasa Melayu yang digunakan dalam Bible berkenaan bukan bahasa Melayu Indonesia, Sabah atau Sarawak tetapi bahasa Melayu Semenanjung dengan kod bahasa yang tertera merujuk kepada bahasa Melayu Johor dan Melaka.
Menceritakan semula mengenai gerakan tersebut, beliau memberitahu, Ahad lalu, ahli persatuannya didatangi seorang lelaki India Muslim ketika di Padang Kota Lama dan lelaki itu memberikan Bible yang diperolehinya.
"Lelaki itu mendakwa Bible berkenaan diedarkan oleh sebuah gereja yang membuat kerja amal memberikan makanan kepada orang miskin dan Bible tersebut diletakkan bersama dalam bungkusan makanan yang diedarkan," ujarnya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, pihaknya turut membuat laporan polis terhadap tindakan ala samseng yang dilakukan oleh jentera kempen pilihan raya parti pembangkang.
 
"Semalam ketika calon pembangkang bagi Parlimen Balik Pulau, Muhammad Bakhtiar Wan Chik dan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Teluk Bahang, Datuk Abdul Halim Hussain datang berkempen ke rumah saya di Balik Pulau, berlaku sedikit kekecohan apabila beberapa pengikut calon berkenaan cuba bertindak liar.
"Saya cuma bertanya kepada Abdul Halim mengenai nasib 35 penjaja di Padang Kota Lama kerana kalau masalah itu tidak mampu diselesaikan, bagaimana mereka mahu menjamin nasib pengundi Balik Pulau?
"Namun apabila tidak berjaya menjawab, tiba-tiba seorang petugas jentera yang mengikuti rombongan terus menerpa ke hadapan dan mahu menumbuk saya, malah mereka juga menendang pintu rumah saya," katanya.
Ekoran kejadian itu, Mohd. Salleh menegaskan beliau amat kecewa apabila wakil calon seolah-olah merelakan perbuatan petugas jenteranya yang langsung tidak tahu menghormati etika bertandang ke rumah orang.
"Saya bertanya dengan elok tetapi apabila kehabisan modal, mereka cuba guna kekerasan dan saya bertambah kecewa apabila kedua-dua calon berkenaan seolah-olah merelakan apa yang terjadi," katanya.
 
0 Komentar untuk "NGO buat laporan polis berhubung gerakan edar Bible berbahasa Melayu"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top