Info Putra Heights 2016

Koperasi sekolah jual makanan

Melaka Tengah: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) memohon Kementerian Pelajaran mengkaji semula penguatkuasaan larangan menjual makanan dan minuman di 2,216 koperasi sekolah.

Timbalan Presiden ANGKASA, Datuk Abdul Fattah Abdullah, berkata penguatkuasaan serta merta larangan dikeluarkan kementerian menerusi pekeliling bertarikh 15 April lalu itu didakwa akan menjejaskan pendapatan koperasi terbabit.
Aduan peniaga kantin


Beliau berkata, alasan diberikan bagi melaksanakan peraturan itu yang antaranya membabitkan aduan pendapatan pengusaha kantin yang dikatakan terjejas dan kebimbangan berlakunya keracunan makanan perlu dikaji semula.

Apa yang kita khuatir dua juta ahli koperasi sekolah yang terdiri daripada guru dan pelajar ini akan mengalami kemerosotan keuntungan ketara berikutan produk makanan dan minuman adalah antara yang mendapat permintaan tinggi di koperasi sekolah.

Kementerian perlu menyedari saham koperasi sekolah dimiliki pelajar dan guru dengan setiap keuntungan diagihkan kembali kepada setiap ahlinya sedangkan pengusaha kantin memperoleh faedah untuk diri mereka saja, katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penutupan Kursus Induksi Koperasi Anggota Baru ANGKASA (Zon Selatan) di sini, semalam. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif ANGKASA, Nasir Khan Yahaya.
Abdul Fattah berkata, sehubungan itu pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud berhubung peraturan itu dalam tempoh terdekat bagi mencari jalan penyelesaian.

Elak kerugian

Kita tidak mahu koperasi sekolah kerugian berikutan manfaatnya kepada warga sekolah dan negara begitu besar. Pada 2011 saja, koperasi sekolah mencatatkan perolehan terkumpul RM263.5 juta dengan nilai aset sebanyak RM225 juta bersama keuntungan berjumlah RM34 juta, katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, satu jawatankuasa ditubuhkan baru-baru ini bagi mengkaji undang-undang dan peraturan sedia ada yang tidak mesra koperasi sehingga mengekang usaha menggerak serta mengembangkan perniagaan dalam kalangan ahlinya.

Langkah menggerakkan perniagaan itu penting bagi mencapai sasaran ditetapkan kerajaan supaya sektor koperasi di negara ini mampu menyumbang sekurang-kurangnya lima peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini dan 10 peratus KDNK pada 2020, katanya
0 Komentar untuk "Koperasi sekolah jual makanan"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top