Info Putra Heights 2016

Izzue bernikah 2 Jun

 KAMI di Hits sebenarnya sudah lama menghidu hubungan yang seringkali dinafikan ini. Malah ketika berita mereka sudah mengikat tali pertunangan tersebar meluas, Hits cuba mencari kepastian daripada empunya diri. Bagai dijangka, jawapan penafian juga yang ditemui.
Namun dengan berita perkahwinan yang bakal berlangsung, telah menjelaskan hubungan sebenar pelakon dan penyanyi Izzue Islam bersama pengurusnya yang dikenali sebagai Awin Nurin.
Izzue akhirnya mengaku, mereka sebenarnya sudah pun bertunang. Meskipun tidak memberikan gambaran jelas akan tarikh pertunangan berlangsung, pengakuan 'ya, kami sudah bertunang' yang dibuat oleh Izzue, pun dianggap sudah memadai.
Menjelaskan mengapa dia begitu berahsia soal hubungannya dengan Awin, bagi Izzue atau nama sebenarnya Muhammad Izzul Islam Mazlan, 23, dia sudah dididik untuk sentiasa menghormati pendirian orang lain.
"Saya mengakui banyak mengelak dari menjawab soalan mengenai kami berdua. Bukan apa, saya tidak mahu terlalu terbuka bercerita soal yang belum pasti. Dan bila sudah sampainya masanya, seperti hari ini kami sudah bersedia untuk berkahwin, baru saya berani bersuara.
 
"Saya harap peminat faham yang perkara sebegini melibatkan banyak pihak. Tidak adil untuk saya melontarkan pendirian tanpa merujuk kepada mereka dahulu," katanya yang akan melangsungkan perkahwinan pada 2 Jun nanti.
Sudah bertunang sejak tahun lalu, Izzue memohon supaya ruang peribadinya tidak diganggu gugat dengan lebih mendalam.
"Cukup sekadar saya katakan memang benar saya sudah menjadi tunangan orang sejak tahun lalu. Namun seperti yang saya katakan tadi apa-apa juga boleh terjadi, kita tidak tahu.
"Macam-macam kes membabitkan rakan artis lain yang berlaku di hadapan mata, menjadikan saya agak fobia untuk berkongsi terlalu banyak hal peribadi. Saya harap semua akan faham," kata Izzue yang juga anggota kumpulan Forteen.
Menduga hati jejaka asal Kelantan ini, Hits ajukan soalan sama ada dia langsung tidak berasa bersalah kepada peminatnya kerana terlalu berahsia? Bukankah setiap yang bernama artis itu menjadi milik masyarakat? Tidakkah dia berasa seolah-olah cuba untuk menipu mereka yang selama ini memberi sokongan kepada kerjaya seninya?
Bagi Izzue, dia pasti peminat kini lebih matang untuk memahami pilihan yang cuba dilakukan. Meminati dirinya juga, bukan kerana status diri, sebaliknya kerana bakat menghiburkan yang dimiliki. Meminta Izzue bercerita mengenai bakal suri hatinya itu, hubungan mereka pada mulanya hanya di atas tiket sahabat sebelum kehadiran cinta.
"Dia merupakan sahabat baik saya, selama lima tahun mengenali dirinya saya yakin kami berdua cukup serasi.
"Melihatkan pengorbanan yang telah dia lakukan ke atas diri saya, sebelum bergelar artis lagi saya percaya Awin benar-benar ikhlas dengan hubungan ini," katanya.
Ditanya penerimaan pihak keluarganya, menurut Izzue kedua pihak juga gembira dengan berita ini, memandangkan dia dan Awin sudah saling mengenali untuk tempoh yang agak lama.
" Ketika majlis pertunangan kami, tiada majlis besar yang dibuat. Keluarga kami sekadar berbincang dan menyarung cincin ke tangan tunangan saya.
 
"Sebab itu kami tidak mahu menghebahkan apa-apa, sementara keluarga saya menerima berita ini dengan baik memandangkan mereka juga sudah tahu hubungan kami," katanya.
Sepanjang lima tahun bersama, dan kini bakal isterinya itu juga merupakan pengurus peribadinya, Izzue menolak dakwaan bahawa Awin seorang "queen control".
Bagaimanapun dia tidak menafikan lebih selesa untuk kemana sahaja dengan bakal isterinya itu, sesuai dengan kerjaya mereka.
"Seperti yang saya katakan tadi kami bermula dari sahabat. Saya rasa selepas berkahwin perkara ini akan jadi lebih mudah untuk saya kerana kami akan kemana-mana juga sebagai suami isteri selepas ini.
"Saya percaya kalau kita buat benda baik, tiada apa yang perlu kita takutkan. Dan kini saya memang tidak terfikir langsung soal kehilangan populariti.
 
"Apa yang penting kini, fokus saya selepas berkahwin adalah untuk meneruskan mometum kerja ke tahap yang lebih tinggi," katanya.
Meminta doa yang terbaik untuk perkahwinannya kelak, bagi Izzue sebagai seorang lelaki yang bakal melangkah ke fasa baru dia memerlukan segala nasihat dan bimbingan yang ikhlas.
"Saya harapkan doa dan nasihat yang terbaik untuk kami memandangkan perkahwinan bukan soal mudah.
"Harapan saya cuma satu untuk melihat perkahwinan ini kekal sehingga akhir hayat kami," katanya yang yang tidak putus-putus mengharapkan doa daripada peminatnya.
0 Komentar untuk "Izzue bernikah 2 Jun"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top