Info Putra Heights 2016

Gaji CEO lebih banyak dari bayar cukai

Dua puluh enam syarikat besar Amerika Syarikat (AS) membayar gaji ketua eksekutif (CEO) mereka lebih banyak daripada pembayaran cukai kepada kerajaan persekutuan negara itu, demikian mengikut kajian Institut Kajian Dasar AS, semalam.

Ia berkata, syarikat seperti AT&T, Boeing dan Citigroup, membayar CEO mereka dengan purata gaji sekitar AS$20.4 juta tahun lalu, tetapi bersandarkan kepada peraturan kawal selia negara itu, syarikat besar berkenaan hanya membayar cukai kepada kerajaan persekutuan dengan kadar yang sedikit ataupun tidak membayar langsung, walaupun mencatatkan keuntungan yang lumayan.
Kajian itu mendedahkan bahawa berikutan pelaksanaan akta potongan cukai dan kredit membolehkan syarikat besar menawarkan pakej gaji yang mewah kepada eksekutif sebagai langkah mengurangkan bil cukai mereka.


Hasilnya, Washington, kata kajian itu hanya memperoleh wang yang sedikit di tengah-tengah peningkatan masalah defisit negara itu.

Ia berkata, secara purata, 26 syarikat di AS menjana pendapatan bersih lebih daripada AS$1 bilion.

Kajian itu turut membidas peraturan cukai AS yang membenarkan potongan terhad dilakukan oleh CEO untuk membayar cukai berasaskan prestasi, seperti kebanyakan opsyen saham.

Manfaat pulangan cukai
Ia berkata, berikutan peraturan potongan terhad berkenaan, lima pembayar cukai berprestasi tinggi dalam kalangan 26 syarikat yang menjana pendapatan lebih AS$ bilion itu, menerima manfaat pemulangan cukai sebanyak AS$232 juta tahun lalu.

Antara ketua syarikat yang lantang dikritik dalam kajian itu termasuk CEO Boeing, James McNerney Jr yang dilaporkan menerima gaji sebanyak AS$18.4 juta tahun lalu manakala syarikatnya memperoleh manfaat pemulangan semula cukai sebanyak AS$605 juta.

Kajian itu turut mengaitkan Citigroup yang membayar CEOnya, Vikram Pandit dengan gaji sebanyak AS$14.9 juta, manakala bank itu memperoleh manfaat pemulangan cukai bersih sebanyak AS$144 juta.

Ia berkata, lapan belas daripada 26 syarikat berkenaan memperoleh semula wang tunai atau kredit sekali gus membolehkan mereka memohon manfaat cukai pada masa akan datang.

Kod cukai negara kita ini (AS) telah menjadi pemangkin yang kuat untuk CEO memperoleh gaji yang tinggi, demikian jelas kajian itu.

Selain manfaat pemulangan cukai yang diterima syarikat besar AS, kajian itu turut mengkritik penggunaan skim perlindungan cukai yang membolehkan syarikat berteknologi, misalnya, untuk menerima perlindungan hak harta intelek yang seterusnya mendapat kelebihan beroperasi di Kepulauan Cayman, sekali gus membolehkan mereka beroperasi dengan untung yang banyak dan pada masa sama mengelak daripada membayar sebarang cukai.

Ini menjelaskan bahawa 26 syarikat yang memiliki gabungan 537 anak syarikat itu memperoleh manfaat yang besar dengan beroperasi di AS, iaitu negara yang boleh disamakan seperti syurga cukai.
0 Komentar untuk "Gaji CEO lebih banyak dari bayar cukai"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top