Info Putra Heights 2016

Dewan Pemuda PAS selar Ketua AMK - apa sudah jadik

Kuala Lumpur: Dewan Pemuda PAS menyelar Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Md Akin, supaya tidak berlagak sebagai hero dengan mencela Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Bendahari pergerakan itu, Khairil Nizam Khirudin, turut mengingatkan Shamsul Iskandar supaya tidak cuba mengajar PAS mengenai konsep tahalluf siyasi jika gagal memahami maksud sebenar dan syaratnya.
"Jangan jadikan tahalluf siyasi dan peluang menghentam Tuan Guru Presiden sebagai modal untuk berlagak hero di hadapan perwakilan AMK. Jangan mencela Tuan Guru Presiden seolah-olah beliau bercakap mengikut nafsu ketika mengkritik.


Kenyataan biadab

"Ia kasar dan biadab untuk dikaitkan dengan tindakan Tuan Guru Presiden," katanya dalam satu kenyataan.

Shamsul Iskandar dalam ucapan dasar AMK di Kongres PKR, Jumaat lalu, secara lantang mengkritik kepemimpinan PAS terutama tindakan Abdul Hadi mengeluarkan watikah bertanding kepada calon parti itu yang terbabit dalam isu pertindihan kerusi dengan calon PKR pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Ahli Parlimen Bukit Katil itu turut menegur Abdul Hadi yang kononnya mencerca calon parti sekutu PAS termasuk PKR ketika PRU-13, selain menganggap kepemimpinan PAS punca pembangkang kalah di kerusi terbabit.
Pembangkang kalah di semua tujuh kerusi yang bertindih iaitu tiga kerusi di Terengganu (Bukit Besi, Seberang Takir dan Kota Putera), masing-masing satu di Selangor (Kota Damansara), Pulau Pinang (Sungai Acheh), Johor (Panti) serta kerusi Parlimen Wilayah Persekutuan Labuan.

Khairil Nizam turut meminta Shamsul Iskandar tidak membuat kenyataan seolah-olah tahaluf siyasi datang daripada PKR dan cuba mengajar PAS perkara berkenaan.

"Jika Shamsul fakih (faham) mengenai tahalluf siyasi sehingga boleh menegur Tuan Guru Presiden, maka sila datangkan apa-apa juga kajian daripada PKR dan AMK dari segi usul dan kaedah fiqhnya atau apa-apa saja justifikasi yang membuktikan PAS melanggar tahalluf siyasi.

"Pengeluaran watikah dan kenyataan Tuan Guru Presiden mengkritik calon tertentu yang diketengahkan untuk bertanding adalah kerana PAS melihat berlaku pelanggaran syarat yang boleh menjejaskan tahalluf siyasi," katanya
0 Komentar untuk "Dewan Pemuda PAS selar Ketua AMK - apa sudah jadik"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top