Info Putra Heights 2016

Tunku Ismail letak jawatan

KUANTAN 4 April - Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah meluahkan rasa dukacita susulan peletakan jawatan Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai Presiden Persatuan Bola sepak Negeri Johor (PBNJ) semalam.
Sambil mengharapkan Tunku Ismail mengubah keputusannya, Sultan Ahmad Shah bertitah sejak menerajui PBNJ, TMJ diterima baik peminat bola sepak Johor.
"...saya rasa mereka (peminat dan PBNJ) memerlukannya," titah baginda kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Persekutuan Bola Sepak ASEAN, di sini semalam.
Pada masa yang sama, titah baginda, TMJ harus bersedia mematuhi undang-undang badan induk bola sepak tanah air itu jika ingin membabitkan diri dalam pengurusan sukan berkenaan.
"Dia tak boleh lari daripada undang-undang, bila kita sanggup berkhidmat demi apa juga jawatan, sebab kita (FAM) mempunyai undang-undang.
"Tiada siapa mengatasi undang-undang di Malaysia, macam saya cakap.. tidak ada satu makhluk yang tidak membuat kesilapan," titah baginda.
Semalam, Tunku Ismail dalam kenyataan medianya mengumumkan peletakan jawatan selaku Presiden PBNJ berkuat kuasa serta-merta, selepas mendapat perkenan Sultan Johor dan jawatan itu kini disandang Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Obet Tawil.
Baginda membuat keputusan itu selepas berasakan kedudukannya selaku TMJ menyukarkan baginda menjalankan tugas sebagai presiden PBNJ yang sentiasa terikat dengan undang-undang FAM.
Tunku Ismail bagaimanapun bertitah, selaku TMJ baginda layak menjadi penaung PBNJ
0 Komentar untuk "Tunku Ismail letak jawatan"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top