Info Putra Heights 2016

Sime Darby beli tiga lagi hospital

SIME Darby Global Healthcare Sdn Bhd akan mengembangkan rangkaian hospitalnya di Asia bagi merealisasikan matlamat muncul sebagai antara penyedia khidmat kesihatan swasta terbesar di rantau ini.

Ini adalah antara strategi utama kumpulan kesihatan yang dibentuk hasil pakatan antara konglomerat tempatan, Sime Darby Bhd dengan penyedia penjagaan kesihatan swasta terbesar Australia, Ramsay Health Care Ltd.

Pakatan strategik

Sebagai permulaan, Sime Darby Global Healthcare, anak syarikat penjagaan kesihatan dalam kumpulan Sime Darby Bhd, akan menumpukan pengembangan operasinya di Malaysia dengan mengambil alih tiga pengendali rangkaian hospital swasta ternama di Pulau Pinang, Melaka dan Johor tidak lama lagi.

Sebaik proses pengambilalihan di Malaysia itu selesai, kumpulan kesihatan Malaysia-Australia itu akan mula menumpukan perhatian dengan membeli pengendali rangkaian hospital swasta di Indonesia, Vietnam dan China.

Pengarah Urusan Sime Darby Healthcare Group, Raja Azlan Shah Raja Azwa, berkata aktiviti pengambilalihan tiga pengendali rangkaian hospital swasta tempatan itu akan bermula sebaik proses penggabungan dan suntikan aset penjagaan kesihatan dan pendidikan antara Sime Darby dan Ramsay Health Care ke dalam Sime Darby Global Healthcare, selesai Julai ini.

Bagi mempercepatkan langkah itu, beliau berkata, kumpulan turut mengadakan perbincangan awal dengan beberapa pihak berkaitan di tiga negeri berkenaan.

Peningkatan permintaan

“Kami percaya wujud peluang besar untuk kumpulan terus mengembangkan operasi di Asia, khususnya di Malaysia, Indonesia, Vietnam dan China berikutan memiliki prospek pertumbuhan kukuh dan menarik bersandarkan kepada penambahan jumlah penduduk yang membawa kepada meningkatnya permintaan kepada penjagaan kesihatannya.

“Langkah pengembangan operasi ini adalah bagi meningkatkan lagi jangkauan kualiti perkhidmatan penjagaan kesihatan di dalam dan luar negara, selain pada masa sama menyampaikan nilai jangka panjang untuk kumpulan serta pemegang saham kami,” katanya kepada BH Bisnes di Kuala Lumpur.

Beliau berkata demikian mengulas perancangan Sime Darby Healthcare Group selepas mengumumkan pakatan strategik dengan Ramsay Health Care pada akhir bulan lalu.

Raja Azlan berkata, langkah mengembangkan operasi itu juga antara usaha bagi menjadikan perniagaan penjagaan kesihatan Sime Darby muncul sebagai antara penjana utama kepada keuntungan kumpulan itu pada masa depan.

“Dengan pengambilalihan ini, kami harap dapat meningkat jumlah katil kepada 1,300 buah dalam tempoh tiga hingga lima tahun lagi,” kata Raja Azlan.

0 Komentar untuk "Sime Darby beli tiga lagi hospital "

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top