Info Putra Heights 2016

Shaheizy Sam & Nissan 370Z Coupe tajaan Edaran Tan Chong Motors

 
Tidak berhasrat menjual kenderaan yang dimenangi, Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2012, Shaheizy Sam Samad, berkata kereta sport Nissan 370Z Coupe tajaan Edaran Tan Chong Motors bernilai hampir RM400,000 itu akan digunakan secara bergilir-gilir dengan kereta dimenangi dua tahun lalu.

Selain kereta, pelakon ini turut membawa pulang barangan kemas tajaan Habib Jewels Sdn Bhd bernilai RM150,000. Dia menerima habuan berkenaan pada majlis penyerahan hadiah kepada pemenang artis dan kategori pembaca di Holiday Villa Hotel & Suites, Subang Jaya, kelmarin.
Kegembiraan itu turut dikongsi ahli keluarga Sam iaitu ibunya, Khaty Fauziah, serta abang dan dua anak buahnya yang turut hadir memberikan sokongan pada majlis terbabit.


Menurut Sam, dia enggan menjual hadiah terbabit kerana tidak mahu mengecilkan hati peminat yang bersusah payah mengundi demi memastikan kemenangannya.

"Saya akan memakai sendiri hadiah kereta ini sebagai menghargai pemberian orang, khususnya peminat. Mereka bersusah payah mencurahkan masa dan tenaga untuk mengundi saya, jadi saya yakin mereka akan lebih berbesar hati apabila melihat saya memandu sendiri kereta itu.
Takkan jual kereta hadiah
Berkat beli kereta untuk ibu

"Kereta yang dimenangi dua tahun lalu akan tetap saya gunakan dan saya akan memandunya secara bergilir-gilir. Walaupun sudah memiliki kereta baru, saya masih sayangkan kereta Nissan Teana itu kerana ia kemenangan pertama saya sebagai Bintang Paling Popular.
"Saya masih menjaga kereta itu dengan baik. Saya juga pantang melihat kesan kotoran. Jika lihat ada kesan kotor saja saya akan segera menghantar kereta itu untuk dicuci," katanya yang tidak pernah memiliki kereta mewah sebelum memenangi Nissan Teana.

Sebelum ini Sam menggunakan Kancil untuk berulang alik ke lokasi penggambaran dan dia tidak malu memandu kereta itu.

Katanya lagi, kemenangan dua kereta berkenaan mungkin balasan atas keikhlasan membelikan kereta buat kegunaan ibunya.

Hadir pada majlis berkenaan ialah Pengarang Kumpulan BH selaku Penaung ABPBH 2012, Datuk Mior Kamarul Shahid; Timbalan Pengarang BH merangkap Penasihat 1 ABPBH, Mahfar Ali; Pengarang Bersekutu Edisi Mingguan dan Hiburan BH merangkap Pengerusi Bersama ABPBH, Hanizam Abdullah; serta Pengarang Hiburan BH, juga merangkap Pengerusi Bersama ABPBH, Shamsul Azree Shamshir.

Bawa Fazura jumpa orang tua

Sementara itu, mengenai kisah keakraban dengan pelakon, Nur Fazura, yang dilihat hadir berpakaian sedondon rona ungu pada malam kemuncak ABPBH 2012, 7 April lalu, Sam mengakui mereka memang rapat. Malah, mereka akan lebih intim lagi memandangkan kedua-duanya bergandingan dalam filem baru, Manisnya Cinta.

Sam akui senang dengan pelakon itu dan menganggap Fazura sebagai wanita yang 'sempoi'. Bagaimanapun, dia menafikan mereka mempunyai hubungan istimewa.

Sam turut berkata, dia pernah membawa aktres itu bertemu ibunya, tetapi tidaklah sampai ke tahap pulang ke rumah keluarga.

"Daripada reaksi mummy, saya dapat rasakan dia selesa dengan Fazura. Mungkin Fazura sudah lama dalam industri, jadi dia tahu bagaimana mengambil hati orang tua.

"Saya mengaku selesa berkawan dengannya. Kami sudah kenal sejak 2008 lagi, tapi baru kini saya berkesempatan untuk rapat dengannya.

"Selama ini saya hanya mendengar cerita mengenai gaya hidupnya, tetapi selepas mengenali Fazura, dia tidaklah seperti yang digambarkan. Ternyata dia seorang yang sangat 'sempoi' dan merendah diri," katanya.
0 Komentar untuk "Shaheizy Sam & Nissan 370Z Coupe tajaan Edaran Tan Chong Motors "

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top