Info Putra Heights 2016

San Pedro Sula bandar berbahaya dunia

SEBUAH bandar raya dalam Republik Honduras, San Pedro Sula kini berada pada kedudukan paling teratas dalam senarai tempat paling berbahaya di dunia membabitkan tragedi pembunuhan dan aktiviti keganasan.
Sekurang-kurangnya tiga orang dilaporkan terbunuh setiap hari dalam negara pengeksport kopi utama itu yang berkaitan dengan aktiviti kumpulan penjenayah serta kartel dadah bebas.

Menurut aktivis keamanan antarabangsa, aktiviti jenayah dan perdagangan dadah berlaku secara berleluasa di kawasan berpenduduk miskin, kurang kawalan keselamatan dan kurang nilai undang-undang.

Kebanyakan perkampungan dan kawasan berpenghuni dikawal oleh lelaki bersenjata sekali gus menjerumuskan anggota polis ke kancah tidak sihat seperti rasuah.

Majlis Rakyat untuk Keselamatan Awam, Keadilan dan Keamanan berpangkalan di Mexico melaporkan, sebanyak 1,218 kes homisid dicatatkan berlaku di San Pedro Sula membabitkan 3.3 kes bunuh setiap hari. Ia diikuti dengan Acapulco di Mexico,
Caracas di Venezuela dan Distrito Central dalam Honduras.
Agensi berita antarabangsa, Reuters pula mendedahkan bandar San Pedro Sula dibebani dengan kesan kejatuhan ekonomi Amerika Selatan dan hampir 70 peratus penduduknya hidup dalam kemiskinan.

Berikutan itu, kumpulan bersenjata jalanan yang digelar Maras semakin berleluasa dengan sindiket jenayah terancang mereka pada masa yang sama kumpulan pengedar dadah Mexico bertindak membeli tanah serta merekrut skuad pembunuh.   

Malah hampir separuh banduan daripada seluruh Honduras dilaporkan masih belum disabitkan kesalahan dan terpaksa menunggu selama bertahun-tahun untuk dibicarakan.

"Ada juga antara banduan meninggal dunia disebabkan pergaduhan, ditikam, ditembak atau terlibat dalam insiden kebakaran seperti yang berlaku di Penjara Comayagua pada Februari tahun lalu," kata aktivis dalam laporan MailOnline
Hasil kajian Universiti Autonomi Kebangsaan Honduras, seramai 149 penduduk awam dilaporkan mati di tangan anggota polis sejak dua tahun lalu termasuk 25 anggota Kumpulan Jalanan ke-18.
Susulan itu, pihak polis berhadapan dengan dakwaan membabitkan pelaksanaan operasi lebih kepada pembunuhan sekali gus membelakangi pelaksanaan undang-undang sebenar di Honduras yang memerlukan tindakan siasatan terlebih dahulu.

Beberapa tahun sebelum ini, beberapa anggota polis berhadapan pertuduhan dengan pembunuhan seorang tokoh wartawan radio tempatan dan anak lelaki bekas ketua polis.

Sehingga ke hari ini, kedua-dua kes tersebut tidak diselesaikan dengan tepat. Malah, ketua polis teratas Honduras turut didakwa terlibat sama.

Pada 2002, inspektor penjara, Juan Carlos Bonilla ditahan selepas Jabatan Hal Ehwal Dalaman Polis Honduras mengeluarkan laporan yang mensabitkan beliau terlibat dalam tiga kes pembunuhan di luar bidang kuasa serta 11 kes kematian termasuk kehilangan yang didakwa sebahagian besar daripada operasi 'pembersihan sosial' pasukan polis.
Tahun lalu, Bonilla dipilih mengetuai pasukan polis kebangsaan walaupun beliau masih belum diadili membabitkan pertuduhan yang dibuat terhadapnya.
Sementara itu, Kongres Amerika Syarikat membuat keputusan membekukan dana Jabatan Negeri kepada pasukan polis sementara menjalankan siasatan membabitkan laporan pada 2002.
Antara bulan Mei dan November lalu, ratusan anggota polis Honduras telah disiasat dan diperhatikan oleh Kongres Amerika. Di akhir 2012, seramai 33 anggota diarah berpindah namun dihalang Mahkamah Tinggi yang melabelkannya sebagai tindakan undang-undang yang melanggar hak pegawai awam.
0 Komentar untuk "San Pedro Sula bandar berbahaya dunia"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top