Info Putra Heights 2016

University of Reading buka kampus rm980 juta di Iskandar Malaysia

UNIVERSITY of Reading, sebuah universiti terkemuka di dunia melabur RM980 juta bagi pembinaan kampus luar negaranya yang pertama di Iskandar Malaysia, lantas mengesahkan sokongannya untuk membangunkan Malaysia sebagai pusat pendidikan serantau.
 
Naib Canselor University of Reading, Sir David Bell berkata, pihaknya gembira untuk menjadi sebahagian daripada inisiatif bandar pendidikan atau EduCity, Iskandar Malaysia dan memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk mendapatkan pendidikan berkualiti tinggi.
"Kami secara proaktif akan membangunkan kampus ini agar dapat menawarkan pengalaman pendidikan yang terbaik kepada para pelajar dari kedua-dua sudut iaitu infrastruktur kemudahan yang disediakan hinggalah kepada sistem pendidikan yang akan disampaikan.
"Untuk menjana tahap kecemerlangan sedemikian, kami telah melantik pasukan dari United Kingdom (UK) yang akan berganding bahu dengan Iskandar Investment Berhad bagi memastikan kualiti dan pengalaman akan menjadi asas kepada pencapaian pembangunan serta kecemerlangan tersebut," jelasnya kepada Helo Kampus di Kuala Lumpur baru-baru ini.
 
Beliau menambah, kampus University of Reading yang baharu itu akan membolehkan institusi berkenaan secara konsisten berada di senarai universiti terunggul di seluruh dunia.
Kehadirannya di Iskandar Malaysia akan membawa khazanah budaya pendidikan berkualiti tingginya ke Malaysia dan rantau Asia Pasifik.
 
Kampus baharu yang akan dikenali sebagai University of Reading Malaysia, bakal dibuka pada September 2015 menawarkan program pada peringkat pra-siswazah dan pasca-siswazah di dalam tiga bidang iaitu Perniagaan dan Perundangan, Sains (termasuk farmasi) dan Pembangunan Persekitaran.
Sekolah Perundangan, University of Reading telah lama diasaskan di Malaysia melalui program ijazah berkembar yang dilaksanakan sejak 2004 bersama Taylors University, Malaysia, dan menerima kemasukan lebih kurang 100 orang pelajar setiap tahun.
 
Program Perundangan, termasuk program ijazah pasca-siswazah dalam bidang undang-undang komersial, juga akan di tawarkan di kampus EduCity.
Menurut David, kursus bahasa Inggeris juga dikendalikan melalui kemudahan pengajian mereka yang terletak di Kampus Menara Kota Raya di Johor Bahru dan program-program lain mula diperkenalkan pada tahun 2013, termasuklah program Asas Perniagaan.
"Mereka yang menamatkan program ini akan mendapat jaminan untuk melanjutkan pengajian di University of Reading, termasuklah jaminan untuk mengikuti kursus-kursus yang ditawarkan di Henley Business School," ujarnya.
 
Program Asas Sains yang menawarkan pelajar peluang untuk melanjutkan pengajian ke tahap ijazah sains pula akan bermula pada tahun 2014.
University of Reading merupakan peneraju dunia dalam aktiviti penyelidikan dan pengajian di dalam bidang pengurusan, reka bentuk dan ekonomi teknologi kejuruteraan.
Universiti itu juga turut menjadi tuan rumah kepada sekolah terbesar di UK yang melaksanakan aktiviti penyelidikan dan pengajian di dalam bidang harta tanah dan perancangan harta tanah dan akan turut menawarkan program seperti BSc Ukur Bahan, BSc Harta Tanah, MSc Pengurusan Projek, dan MSc Perancangan dan Harta Tanah di Malaysia.
 
Sebagai tambahan kepada program pengajian inovatif yang berteraskan penyelidikan dan persekitaran pembelajaran yang mesra dan memudahkan, University of Reading juga mempunyai rekod cemerlang dalam penghasilan graduan yang mempunyai nilai pasaran kerja yang tinggi.

0 Komentar untuk "University of Reading buka kampus rm980 juta di Iskandar Malaysia"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top