Info Putra Heights 2016

Tiada penyerang HEBAT

JURULATIH skuad Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal nampaknya baru sedar bahawa pemain bola sepak negara kekurangan sifat-sifat semula jadi sebagai seorang penyerang berwibawa.
Rajagobal menjelaskan demikian selepas menyaksikan skuad kendaliannya tewas 1-4 kepada Arab Saudi pada perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam, Selangor malam kelmarin.
 
Menurutnya, ketiadaan penyerang berbisa, Mohd. Safee Sali yang dilanda kecederaan serius, memaksa beliau meletakkan Norshahrul Idlan Talaha selaku penyerang tunggal pada perlawanan tersebut.
"Kita sekarang menghadapi masalah kekurangan penyerang semula jadi. Pemain lain seperti Mohd. Amri Yahyah dan Azamuddin Mohd. Akil lebih sesuai beraksi di posisi sayap dan tengah.
"Saya berharap Wan Zack Haikal Wan Nor yang masih cedera mampu pulih untuk memperkukuhkan jentera serangan menjelang aksi menentang Yemen, Jumaat ini," katanya selepas perlawanan tersebut.
Skuad Harimau Malaya akan menentang Yemen pada perlawanan kedua kumpulan D pusingan kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Shah Alam Jumaat ini.
 
Meskipun menyedari kelemahan tersebut, Rajagobal bagaimanapun sudah mendapat bayangan skuad terbaik bagi mengekang ancaman Yemen dalam kempen kelayakan itu nanti.
Ironinya, ilham sedemikian hadir selepas skuad negara teruk 'dikerjakan' Arab Saudi dengan kekalahan besar malam kelmarin.
Enggan 'mengibarkan bendera putih' sebelum berjuang, Rajagobal sebaliknya menegaskan perbezaan ketara antara pasukan negara dan Arab Saudi merupakan satu kenyataan meskipun pahit untuk diterima.
"Tetapi, kita berdepan pasukan yang kuat seperti Arab Saudi. Ada masa kita main bagus, ada masa aksi kita kurang meyakinkan.
"Apa yang pasti, saya sudah mendapat gambaran siapa yang bakal diturunkan ketika berdepan Yemen nanti," katanya.
 
Dalam aksi kelmarin, Arab Saudi selesa mendahului 2-0 pada babak pertama hasil jaringan Yousef Alsalem seawal minit keenam dan Yahya Alsheri (29).
Biarpun arkitek negara, Safiq Rahim berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-70, malapetaka gara-gara kerapuhan benteng pertahanan Harimau Malaya akhirnya dihukum pelawat menerusi jaringan Naif Hazazi (88) dan Hamdan Alhamdan pada masa kecederaan.
"Pada masa sama, kita juga kekurangan penyerang. Lihat sahaja gol kita, yang dijaringkan Safiq (pemain tengah).
 
"Ia jelas berbeza berbanding Arab Saudi yang memiliki rangkaian penyerang berbeza yang mempunyai teknik lebih baik," katanya.
Ketika ditanya bagaimana untuk mengekalkan corak permainan agresif yang dipamerkan Harimau Malaya pada awal babak kedua tempoh hari, jelas Rajagobal: "Pemain perlu sedar, aksi agresif wajar dikekalkan sehingga perlawanan tamat.
"Namun, semangat juang mereka wajar dipuji dan cukup positif untuk berdepan Yemen," katanya.
Untuk rekod, Malaysia kini berada di tangga tercorot Kumpulan D selepas tumpas 0-2 kepada Qatar dalam aksi pembuka tirai di Doha, bulan lalu.
Selepas bertemu Yemen, skuad negara bakal melayan kunjungan Bahrain di stadium sama 15 Oktober depan.

0 Komentar untuk "Tiada penyerang HEBAT"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top