Info Putra Heights 2016

TAHNIAH - Nazirul Naim, Wan Zack ke Jepun

KUALA LUMPUR - Tanpa diduga, bek kiri Harimau Muda A, Nazirul Naim Che Hashim membuat kejutan apabila terpilih ke kelab Divisyen Tiga Jepun, FC Ryukyu bersama pemain sayap Harimau Malaya, Wan Zack Haikal Wan Noor.Bakal berusia 20 tahun pada 6 April ini, Nazirul sememangnya mempunyai kekuatan semulajadi kaki kiri dan menjadi pilihan dalam kesebelasan utama Harimau Muda A kebelakangan ini, malahan dia mampu beraksi sebagai sayap kiri.
 
Pemilihan Nazirul dimaklumkan oleh jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee yang berkata, Ryukyu mempunyai sebab tersendiri memilih pemain yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak itu.
Pemilihan Nazirul sekali gus menafikan spekulasi yang mengaitkan seorang lagi pemain Harimau Muda, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria sebelum ini.
''Ryukyu berdepan masalah di bahagian pertahanan kerana mereka kekurangan pemain malahan tiada banyak pilihan di posisi bek kiri.
 
''Tambahan Nazirul secara semula jadi memang seorang pemain yang menggunakan kaki kiri dan mempunyai larian yang cukup pantas. Dia berjaya memikat delegasi Ryukyu untuk disenaraikan.
''Bukannya Kecik (Wan Zaharulnizam) tidak bagus atau gagal tetapi mereka sudah mempunyai ramai pemain yang mampu beraksi di posisi sayap tambahan Wan Zack juga bermain di posisi yang sama," katanya ketika ditemui selepas majlis makan malam skuad Bawah 23 tahun.
Buat masa ini, Kim Swee menjelaskan, pihaknya perlu memastikan urusan perbincangan kontrak dapat memuaskan hati semua pihak sebelum kedua-dua pemain tersebut sah menjadi pemain terbaru FC Ryukyu, kelab yang berpengkalan di Okiniwa.
''Kini, saya dan pihak Ryukyu dalam peringkat perbincangan akhir mengenai soal kontrak kerana banyak perkara perlu diperhalusi kerana kita tidak mahu kes yang terjadi kepada pemain kita sebelum ini berulang kembali.
 
''Antara klausa khas yang saya mahu pemain patuhi adalah mereka perlu merujuk kepada FAM terlebih dahulu jika mahu pulang jika mahu pulang ke tanah air lebih awal, ini untuk mengelakkan ada pihak lain mengambil kesempatan terhadap pemain terbabit.
''Di samping itu, saya mahu pastikan mereka berdua dapat pulang mewakili negara semasa keadaan memerlukan khidmat mereka," katanya ketika ditemui sebelum ini.
 
Keputusan itu bermakna Wan Zack dan Nazirul Naim tidak akan bersama pemain Harimau Muda A lain yang akan ke Slovakia selama lima bulan sebaliknya akan menuju ke Jepun dalam masa terdekat.
Nazirul dijangka ke Jepun terlebih dahulu sementara Wan Zack mempunyai komitmen dengan pasukan Harimau Malaya menjelang perlawanan kelayakan Piala Asia 2015 menentang Yemen, 22 Mac ini.
Pintu perpindahan pemain bagi J-League (Liga Jepun) akan ditutup pada 29 Mac ini.

0 Komentar untuk "TAHNIAH - Nazirul Naim, Wan Zack ke Jepun"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top