Info Putra Heights 2016

Rajagobal ke dakwa?

PETALING JAYA - Kurang 24 jam selepas Harimau Malaya ditimpa kekalahan 0-2 kepada Palestin pada perlawanan amal antarabangsa di Kuantan kelmarin, ketua jurulatihnya, Datuk K. Rajagobal pula berdepan petanda buruk baharu apabila bakal dihadapkan ke Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
 
Jawatankuasa itu mendapati wujud kes terhadapnya yang menyentuh Artikel 88 Peraturan 2010-14 FAM gara-gara menyalahkan kehadiran penyerang import dalam Liga Malaysia sehingga mendakwa penyerang tempatan kurang menyengat ketika perlawanan persahabatan menentang Arab Saudi, 17 Mac lalu.
Pengerusi jawatankuasa tersebut, Datuk Taufik Razak berkata, pihaknya akan menghantar surat pertuduhan kepada Rajagobal minggu depan dengan satu tempoh tertentu diberikan oleh jawatankuasa itu untuk jurulatih berkenaan menjawabnya.
 
"Setelah berbincang panjang lebar, kami dapati ada kes untuk mendakwa Datuk Rajagobal dan kertas pertuduhan akan dihantar kepadanya mengikut prosedur sama kes lain sebelum ini," katanya sambil mengesahkan kenyataan jurulatih itu berkaitan mengkritik dasar FAM secara terbuka menerusi media, tanpa mahu menjelaskan secara terperinci.
 
Taufik bagaimanapun enggan mendedahkan bentuk hukuman yang menanti Rajagobal sekiranya didapati bersalah oleh jawatankuasa itu khususnya jawatan yang disandangnya.
Namun, beliau cuma menambah bahawa kes pertuduhan ke atasnya, wujud berdasarkan laporan akhbar susulan daripada perlawanan di Stadium Shah Alam, Selangor sebelum ini.
 
Sementara itu, bagi kes pergaduhan pemain selepas perlawanan pusingan pertama Piala FA antara Selangor-Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di gelanggang sama, 25 Januari lalu, katanya, jawatankuasa memutuskan untuk mendakwa dan memanggil beberapa pemain Red Giants yang terlibat.
"Saya tidak boleh dedahkan nama pemain itu. Tunggulah surat pertuduhan dibuat. Kami jalankan kes demi kes. Keputusan sebelum ini (Jumaat lalu) tidak dikaji balik dan kekal (menggantung pemain ATM, Shukor Adan, G. Jeevananthan, R. Surendren dan Fitri Omar dengan dua hingga empat perlawanan.
"Setelah mengambil kira pandangan dan keterangan pegawai pertandingan dan pasukan (hari ini), hanya pemain Selangor akan dikenakan pertuduhan seterusnya yang berkemungkinan besar pada minggu depan. Mungkin dalam bilangan yang sama (dengan ATM)," kata Taufik.
 
Jurulatih ATM, B. Sathianathan yang menghadap jawatankuasa itu, berkata: "Saya beri pendapat saya dan beritahu apa yang saya nampak semasa kejadian dan selepas perlawanan. Saya juga diberi peluang bertanyakan punca pemain saya digantung. Siapa salah tetap salah dan saya tidak akan pertahankan walaupun pemain saya dan dia kena bertanggungjawab."
Kata jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim: "saya di bilik persalinan ketika insiden itu. Bagi saya, kita tidak boleh salahkan Afiq Azmi (dikatakan mengapi-apikan pemain ATM di bangku simpanan terlebih dulu). Dia hanya meraikan kemenangan secara tidak berbaju pun bukan satu kesalahan. Mungkin penolong saya, P. Maniam nampak jelas insiden itu."

0 Komentar untuk "Rajagobal ke dakwa?"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top