Info Putra Heights 2016

Pakatan Rakyat terbuka terima hasrat Anwar tanding di Selangor

SHAH ALAM – Pakatan Rakyat (PR) Selangor mengalu-alukan hasrat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengumumkan akan bertanding kerusi Parlimen sama ada di Selangor atau Perak.
 
Ketua Penerangan PKR Negeri, Shuhaimi Shafiei berkata, ia secara tidak langsung membuatkan Barisan Nasional (BN) lebih tergugat dengan kehadiran Ketua Umum PKR itu jika Anwar memilih untuk bertanding di Selangor.
 
Katanya, kedudukan Anwar sebagai ketua umum membolehkan beliau membuat pilihan untuk memilih kawasan yang ingin ditandinginya.
 
"Ini bukan soal (beri) laluan (kepada Anwar untuk bertanding di Selangor) kerana kedudukan beliau sebagai ketua umum ini adalah kedudukan teratas. Kalau beliau bertanding di Selangor, kita akan pastikan untuk kerusi yang ditandinginya akan menang besar," katanya kepada Sinar Harian semalam.
 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada PKR Selangor sedia memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding kerusi Parlimen di Selangor.
 
Semalam, Anwar membuat pengumuman tersebut, sekali gus melenyapkan teka-teki sama ada Ahli Parlimen Permatang Pauh itu bakal mempertahankan kerusi tersebut.
 
Mengulas mengenai kerusi 'selamat' untuk Anwar, Shuhaimi berkata, semua 11 kerusi Parlimen di Selangor yang ditandingi PKR antaranya Sabak Bernam, Pandan, Hulu Selangor, Selayang, Gombak dan Petaling Jaya Selatan merupakan kerusi selamat.
 
Timbalan Setiausaha DAP Negeri, Ng Suee Lim berkata, kehadiran Anwar di Selangor bakal memberi suntikan dan melonjakkan lagi semangat perjuangan PR untuk mengekalkan pentadbiran di negeri itu.
 
"Beliau seorang pemimpin berkarisma dan berwibawa. Sama seperti Lim Kit Siang (Penasihat DAP), beliau (Anwar) sanggup tinggalkan kawasan sendiri untuk bertanding di kawasan 'bahaya' demi parti.
 
"DAP akan beri sokongan padu untuk memberi kemenangan selesa kepada PR nanti," katanya.
 
Sementara itu, Setiausaha Pas Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, Pas yakin Anwar akan diterima rakyat walau di mana sahaja beliau bertanding kelak.
0 Komentar untuk "Pakatan Rakyat terbuka terima hasrat Anwar tanding di Selangor"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top