Info Putra Heights 2016

Magis sentuhan Messi

BARCELONA, Sepanyol - Penyerang sensasi Argentina, Lionel Messi menjadi watak penting yang membantu Barcelona membelasah AC Milan 4-0 pada aksi kedua kalah mati Liga Juara-Juara awal pagi semalam.
Pada aksi di Stadium Nou Camp itu, Messi meledakkan dua gol untuk memastikan kelab gergasi Sepanyol itu mara ke pusingan suku akhir pada pertandingan paling berprestij di Eropah itu.
Barcelona menang dengan agregat 4-2 selepas tampil dengan aksi yang menakjubkan, sekali gus mencipta rekod menjadi pasukan pertama layak selepas tewas 0-2 pada perlawanan terdahulu.
Juara empat kali Eropah itu melancarkan serangan sebaik permainan bermula dan Messi hanya mengambil masa lima minit untuk menggembirakan 99,786 penyokong yang membanjiri stadium terbesar di Eropah itu.
Messi menyumbat masuk gol kedua pada minit ke-40 untuk mengikat agregat 2-2 sebelum David Villa meletakkan Barcelona di depan pada minit ke-55.
Jordi Alba mengesahkan kemenangan Barcelona apabila meledakkan gol keempat pada masa kecederaan.
"Sudah lama kami tidak mencipta sejarah seperti ini.
"Kami memberi tekanan kepada mereka (Milan) dan menampilkan aksi luar biasa dalam perlawanan itu," kata pemain tengah Barcelona, Xavi Hernandez.
Barcelona menyertai Galatasaray melangkah ke kelompok lapan pasukan terakhir selepas kelab Turki itu menewaskan Schalke 3-2, sekali gus menang dengan agregat 4-3.
Untuk rekod, Barcelona mara ke suku akhir buat musim keenam berturut-turut dan kejayaan itu memberi peluang kepada mereka untuk memenangi gelaran keempat dalam tempoh lapan tahun.
Pada kempen tahun lalu, Barcelona tewas kepada Chelsea pada aksi separuh akhir manakala gagal mengatasi Inter Milan pada 2010.
Sementara itu, Messi melakar sejarah tersendiri apabila meletakkan namanya selaku penjaring terbanyak dengan meledakkan 53 gol sepanjang musim ini.
Pemain Terbaik Dunia sebanyak empat kali itu turut melepasi rekod jaringan Ruud van Nistelrooy (56 gol) untuk menduduki tempat kedua (58 gol) selaku penjaring terbanyak dalam kempen Liga Juara-Juara di belakang Raul Gonzalez (71 gol).
Meskipun telah memenangi 14 gelaran dalam tempoh lima musim, Barcelona masih teruja untuk melakukan kebangkitan epik bagi menambah drama kemenangan di luar jangkaan pada perlawanan tersebut.

0 Komentar untuk "Magis sentuhan Messi"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top