Info Putra Heights 2016

Lotus teroka segmen baharu?

KUALA LUMPUR 3 Mac - Anak syarikat Proton Holdings Bhd. (Proton), Group Lotus Plc (Lotus) mungkin menerokai segmen kereta baharu bagi mengurangkan kebergantungan kepada model kereta pantas sahaja.Ketika ini pengeluar kereta sport mewah British berkenaan hanya mengeluarkan model Ivora, Elise dan Exige dalam pelbagai varian.
 
Mengikut pasaran kereta pantas dunia, tiada sebuah pun pengeluar yang mampu mencatat keuntungan walaupun jenama mereka dikenali di seluruh dunia kecuali Porsche.
Itu pun disebabkan syarikat berkenaan mempunyai model premium dari segmen selain kereta pantas dan fakta ini telah dikongsi sendiri oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Lukman Ibrahim.
Apabila diajukan soalan adakah Lotus akan mencontohi strategi yang dilakukan oleh Porsche, beliau enggan menjawab tetapi memilih untuk membiarkan wartawan yang hadir membuat andaian sendiri.
"Lotus merupakan jenama yang bagus dan mempunyai teknologi yang tinggi serta mempunyai potensi untuk mencatat keuntungan."
 
"Perniagaan mesti menghadirkan keuntungan dan untuk mencapainya strategi serta pengurusannya perlu betul.
"Berubah ke arah segmen baharu atau tidak itu bergantung kepada situasi masa depan. Saya rasa Lotus dan Proton boleh mewujudkan sinergi yang baik ," katanya, baru-baru ini.
Baru-baru ini, Proton telah mengambil alih Petronas Technology Ventures Sdn. Bhd. (PTVSB) yang membangunkan enjin beraspirasi semulajadi dan juga enjin turbo 2.0 liter serta 2.2 liter.
Pengerusinya, Datuk Seri Mohd. Khamil Jamil turut menerangkan bahawa syarikat berkenaan akan mempertimbangkan menggunakan enjin-enjin tersebut untuk kenderaan Lotus.
Berdasarkan situasi ini, cakap-cakap Lotus akan menghasilkan kereta dalam segmen premium semakin jelas dan mungkin benar.
 
Sementara itu, Lukman berkata, sebenarnya, model-model Lotus sedia ada sangat bagus tetapi apa yang menjadi masalah adalah di bahagian pemasaran dan ini tidak diselesaikan oleh pengurusan sebelum ini.
Katanya, Lotus tidak memerlukan model baharu kerana model sedia ada berpotensi untuk dijual memandangkan semakin banyak model baharu semakin tinggi kos operasi.
"Pelanggan perlu mempunyai akses yang mudah, perkhidmatan jualan dan pengalaman pemanduan dengan model Lotus. Ini yang diperlukan ketika ini," tegasnya.
Lotus juga telah menghentikan projek penghasilan lima buah kereta konsep di bawah pengurusan terdahulu untuk dikaji semula selain lebih menumpukan aspek pembangunan pemasaran yang merupakan kelemahan syarikat berkenaan.
 
Beliau berkata, Lotus adalah jenama yang penting kepada Proton dan sekarang syarikat berkenaan telah berada di landasan betul untuk mencatat keuntungan dalam tempoh beberapa tahun lagi.
"Kami dah lakukan apa yang patut dilakukan dahulu. Hala tuju telah dibuat dan persoalan bila akan capai sasaran berkenaan bergantung kepada seberapa pantas Lotus mampu pulih," jelasnya.
Menurut nota kajian yang dikeluarkan oleh HLIB Research baru-baru ini, Lotus dijangka mencatat pertumbuhan jualan sehingga 5,900 buah bagi tahun kewangan 2015 hingga 2016 berbanding 2,400 buah bagi tahun kewangan 2013 berikutan penambahan jaringan pemasaran, penjenamaan dan model baharu.

0 Komentar untuk "Lotus teroka segmen baharu?"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top