Info Putra Heights 2016

Honda Rancang Buka 29 Pusat 3S Dalam Tempoh Tiga Tahun

KANGAR, 28 Feb (Bernama) -- Honda Malaysia Sdn Bhd merancang membuka 29 lagi pusat 3S (jualan, servis dan alat ganti) di seluruh negara dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi meningkatkan jualan.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutifnya Yoichiro Ueno berkata syarikat itu yang mengutamakan kepuasan pelanggan dan kesetiaan pemilikan sepanjang hayat, yakin pusat 3S dapat menyediakan perkhidmatan cemerlang.

"Honda Malaysia akan terus membangunkan pasaran ini dan mengenal pasti peluang-peluang untuk meningkatkan lagi perkhidmatan kepada pelanggan," katanya pada pelancaran Pusat 3S ke-61, Vimal Auto-Liner Sdn Bhd, di sini Khamis.

Ueno berkata Perlis, pasaran yang semakin berkembang, berpotensi besar.

Beliau berkata negeri itu bersama-sama Kedah, Pulau Pinang dan Perak, menyumbang kira-kira 20 peratus daripada jualan tahunan Honda Malaysia.

"Sasaran jualan Honda Malaysia tahun ini sebanyak 64,000 unit yang merupakan kira-kira 10 peratus penguasaan pasaran," katanya.

Pengarah Urusan Vimal Auto-Liner, Yudish G. Dorai, berkata kemudahan yang disediakan oleh syarikat itu meliputi sudut kanak-kanak, WIFI percuma, parkir kereta untuk orang kurang upaya, pembaharuan cukai jalan dan khidmat insurans.


0 Komentar untuk "Honda Rancang Buka 29 Pusat 3S Dalam Tempoh Tiga Tahun "

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top