Info Putra Heights 2016

Bunohan monopoli FFM25

FESTIVAL Filem Malaysia ke-25 (FFM25) menyaksikan filem Bunohan menang besar apabila berhasil menggondol lapan daripada 24 kategori yang dipertandingkan. Antara kategori yang dimenangi filem tersebut seperti Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Cerita Asal Terbaik dan Lakon Layar Terbaik pada acara kemuncak FFM25 yang menawarkan Anugerah Perdana, yang berlangsung malam kelmarin.
 
Selain itu, filem berkenaan juga turut memenangi tiga kategori lain pada hari perasmian dan penyampaian Anugerah Cipta FFM25 yang berlangsung pada 27 Februari lalu iaitu Penataan Bunyi Terbaik, Penataan Seni Terbaik dan Skor Muzik Asal Terbaik.
Pengarah Bunohan, Dain Said berkata, dia sangat bangga dan gembira dengan kemenangan tersebut dan menyifatkan filemnya itu diterima baik oleh pihak yang bergiat aktif dalam industri filem tempatan.
 
"Biarpun filem ini sudah ditayangkan di luar negara dan mendapat pengiktirafan peringkat antarabangsa, saya menganggap kemenangan di negara sendiri sudah tentu lebih penting.
"Pada masa sama saya ingin mengucapkan setinggi penghargaan kepada semua yang terlibat dalam pembikinan filem ini dan telah memberikan komitmen 100 peratus sehingga ia siap dihasilkan," ujarnya.
 
Bagi filem yang menerima pencalonan terbanyak iaitu Songlap menerusi 15 kategori sekadar berpuas hati dengan empat kemenangan iaitu Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Penyunting Terbaik dan Sinematografi Terbaik.
Selain itu, filem 29 Februari pula berhasil membawa pulang tiga kategori iaitu Pelakon Harapan Lelaki Terbaik, Pelakon Harapan Wanita Terbaik dan Pereka Kostum/Busana Terbaik.

0 Komentar untuk "Bunohan monopoli FFM25"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top