Info Putra Heights 2016

Bekas pelajar AF3 hairan bagaimana gosip rampas kekasih, bergaduh boleh timbul

Sudahlah dituduh menyebar cerita teman lelakinya yang didakwa seorang kerabat dirampas aktres, Nur Fathia Abdul Latiff, nama Marsha Milan Londoh dikhabarkan pula bergaduh dengan pelakon itu gara-gara gosip terbabit.
Tidak terkejut dengan cerita itu, Marsha, 28, bagaimanapun menjelaskan, dia tidak 'mengenali' Fathia apatah lagi untuk bergaduh dengan pelakon berusia 25 tahun itu. Marsha sebaliknya berasakan ada pihak ketiga yang sengaja melempar fitnah dengan niat melaga-lagakan mereka berdua.



Belum pernah digandingkan bersama dalam lakonan, apatah lagi berkawan rapat dengan Fathia, Marsha menegaskan mana mungkin dirinya akan berbuat demikian, apatah lagi lelaki yang dimaksudkan itu langsung tidak dikenalinya.

"Kami pernah bertembung di majlis Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH), tetapi hanya sekadar bertegur, tak lebih daripada itu. Selain itu, kami pernah digandingkan sekali dalam sesi fotografi sebuah majalah, awal tahun ini.

"Apabila cerita ini timbul, memang ia tak masuk akal kerana kami saling tak mengenali. Tiba-tiba bergaduh? Saya rasa ada pihak ketiga dalam isu ini kerana saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan atau cerita mengatakan dia merampas teman lelaki saya. Cuba jelaskan teman lelaki saya yang mana, kerana sudah setahun saya solo," katanya.
Tiada rampas-merampas

Marsha yang tenang berdepan gosip sedemikian berkata, dia mahu orang ramai lebih menumpukan kepada karier seninya daripada menyebar cerita berbaur fitnah.

"Saya sudah lama dalam industri. Perkara sebegini memang lumrah, jadi kita tidak boleh lari.

"Saya juga tak berani nak cerita hal peribadi lagi, takut nanti diputar-belit. Yang penting, saya tak ada masalah dengannya. Dia ada hak untuk berkawan dengan sesiapa saja, begitu juga saya. Dalam hal ini, tidak timbul istilah rampas," katanya.

Menurut Marsha lagi, dia sendiri hanya mendengar cakap-cakap orang dan tidak pernah terbaca mengenai gosip terbabit, begitu juga kenyataan Fathia beberapa hari lalu. HIP Selasa lalu turut menyiarkan kenyataan Fathia yang menafikan wujudnya masalah antara mereka berdua berhubung perkara itu.

Seronok berlakon filem animasi

Bekas bintang Akademi Fantasia 3 ini berkata demikian ketika ditemui pada majlis pratonton filem animasi stereoskopik pertama Malaysia berjudul Bola Kampung The Movie.

Mengenai watak Puteri Amanda lakonannya, dia mengaku pengalaman kali pertama berlakon filem animasi memberikan cabaran berbeza. Dia juga banyak menonton animasi di YouTube untuk mempelajari teknik memasukkan suara ke dalam filem kartun.

"Sebenarnya, saya dipanggil Animasia Studio untuk merakam lagu runut bunyi filem ini, Rindu, berduet dengan Harris Alif. Sebaliknya, saya diuji bakat untuk watak Amanda. Nampaknya mereka berpuasa hati dan terus menawarkan saya watak ini.

"Seronok berlakon dalam cerita animasi kerana ia tidak terlalu mengganggu kerja yang lain. Saya datang ke studio cuma empat hingga lima kali saja," katanya yang tidak lupa mendoakan keselamatan penduduk di negeri kelahirannya, Sabah, serta pasukan keselamatan yang bertugas di sana.

Info: Marsha Milan Londoh:
* Bakal muncul dengan filem Laga, selain single ciptaan sendiri, Jangan Bilang Cinta, April ini. Sebelum ini Marsha mempertaruhkan lagu Bila dan Janji.
* Ketika ini, Marsha sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri Duri Di Hati.
0 Komentar untuk "Bekas pelajar AF3 hairan bagaimana gosip rampas kekasih, bergaduh boleh timbul "

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top