Info Putra Heights 2016

Speaker DUN Perak fail saman malu

IPOH - Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk R. Ganesan memfailkan saman malu RM25 juta terhadap lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Perak di Mahkamah Tinggi di sini semalam.
 
Lima ADUN pembangkang itu ialah Datuk Ngeh Koo Ham (Sitiawan), V. Sivakumar (Tronoh), Nga Kor Ming (Pantai Remis), A. Sivasubramaniam (Buntong) dan Lim Pek Har (Menglembu).
Ganesan yang juga Timbalan Pengerusi MIC Perak berkata, kesemua defendan telah mengeluarkan kenyataan fitnah ke atasnya selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-12 di sini baru-baru ini.
"Sebelum ini, saya telah memaklumkan akan melakukan tindakan perundangan kepada individu yang menerbitkan, menyebabkan untuk diterbitkan, menerbitkan semula, mengulangi, menyebabkan untuk mengulangi perkataan yang telah memfitnah saya dengan mengatakan terdapatnya cakera padat salah laku saya.
 
"Saya juga telah membuat laporan polis supaya siasatan terperinci dapat dilakukan terhadap pihak-pihak terlibat pada 22 Disember lalu," katanya ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Tinggi di sini semalam.
Terdahulu, beliau melalui peguam, Azad Bashir Abdul Karim Bashir menyerahkan writ saman di Mahkamah Tinggi di sini pada pukul 11.53 pagi.
Ganesan memberitahu, kelima-lima defendan gagal memberi maklum balas ke atas surat tuntutan agar mereka menarik balik tuduhan tersebut dan memohon maaf kepada beliau yang dihantar peguamnya pada 15 Januari lalu.
 
Sehubungan itu, beliau telah memfailkan tindakan saman malu terhadap kesemua defendan untuk mendapat ganti rugi injuksi, faedah dan kos.
Pada 21 Disember lalu, Sivakumar dan Sivasubramaniam pada sidang akhbar berkenaan mendakwa menerima sampul surat berisi cakera padat yang tertera di atasnya gambar lucah Ganesan bersama seorang wanita.

0 Komentar untuk "Speaker DUN Perak fail saman malu"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top