Info Putra Heights 2016

‘Lampin bayi berenjin’

PETALING JAYA: Berselindung di sebalik perniagaan eksport lampin pakai buang, satu sindiket penyeludupan kenderaan pacuan empat roda ditumpaskan polis dalam satu serbuan di sebuah gudang ketika sedang sibuk memunggah enam kenderaan jenis itu ke dalam dua kontena di Jalan TUDM, Kampung Baru Subang, di sini, Khamis lalu.
Dalam satu lagi operasi membabitkan sindiket sama dijalankan pihak Kastam Diraja Malaysia di Singapura, tiga lagi kenderaan dirampas kelmarin dengan nilai rampasan RM 1.5 juta.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah ketika bercakap di sidang media di Balai Polis Kampung Baru Subang, di sini, semalam berkata, penangkapan itu hasil intipan pihak polis selama sebulan.
Katanya, dalam serbuan pada jam 8.45 malam oleh sepasukan unit Ops Lejang Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya itu, lima lelaki berusia 21 hingga 42 tahun ditahan ketika sedang leka memuatkan kenderaan curi ke dalam dua kontena.

"Siasatan awal mendapati 10 kenderaan termasuk sebuah Toyota Hilux digunakan suspek dilaporkan hilang di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Perak sejak awal tahun ini.

"Kita percaya sindiket ini mula beroperasi sejak Mac lalu dan sudah menghantar 18 kontena berisi 54 kenderaan curi itu ke lokasi tertentu.
"Lapan kontena dibawa melalui pelabuhan di Singapura menuju ke Pelabuhan Jaber Ali di Emiriah Arab Bersatu (UAE), sembilan melalui Pelabuhan Laem Chabang, Thailand untuk dihantar ke Laos dan sebuah lagi ke Hong Kong," katanya.

Tun Hisan berkata, jumlah keseluruhan kerugian dianggarkan RM8 juta membabitkan 64 kenderaan.
Katanya, polis sudah mengenal pasti syarikat ejen penghantaran kenderaan berkenaan di Sentul, Kuala Lumpur dan akan mengambil tindakan sekiranya didapati bersubahat.

"Kami akan menjalankan siasatan bagaimana kenderaan itu dibawa keluar negara dengan mengisytiharkannya sebagai lampin bayi untuk mengelirukan pihak berkuasa," katanya.

Menurutnya, kelima-lima suspek positif dadah manakala empat daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kes dadah serta samun dan kini ditahan reman sehingga Rabu ini.
0 Komentar untuk "‘Lampin bayi berenjin’ "

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top