Info Putra Heights 2016

KDN benarkan semula tayang filem Vishwaroopam

KUALA LUMPUR 19 Feb. - Kementerian Dalam Negeri bersetuju membenarkan semula tayangan filem Tamil, Vishwaroopam berkuat kuasa hari ini.Pengerusi Lembaga Penapis Filem (LPF) kementerian itu, Datuk Raja Azahar Raja Abdul Manap berkata, kebenaran itu dibuat dengan syarat pihak pengedar mematuhi sepenuhnya keputusan yang ditetapkan oleh LPF iaitu mengenai potongan tambahan ke atas filem tersebut.
 
"KDN telah mewujudkan satu panel khas yang terdiri daripada LPF dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi mengkaji semula filem tersebut daripada pelbagai sudut seperti keagamaan serta keselamatan.
"Sebanyak dua sesi perbincangan dan kajian semula diadakan bersama pihak Jakim bagi untuk menilai semula kandungan filem tersebut.
 
"Pihak Jakim melalui Ketua Pengarahnya telah menyatakan persetujuan untuk KDN membenarkan semula tayangan filem Vishwaroopam setelah berpuas hati dengan potongan-potongan yang telah dilakukan oleh pihak LPF ke atas filem tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Vishwaroopam, merupakan sebuah filem Tamil lakonan Kamal Hassan mencetuskan kontroversi kerana didakwa menghina komuniti Islam.
Filem itu ditayangkan pada 24 Januari lepas di negara ini tetapi ditarik balik pada hari berikutnya ekoran satu arahan pihak KDN.
 
Tambah Raja Azahar, KDN juga dimaklumkan bahawa terdapat inisiatif untuk mengadakan pertemuan antara pihak pengedar filem iaitu Lotus Five Star AV (M) Sdn. Bhd. bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili kaum India Muslim di negara ini.
Jelas beliau, kata sepakat telah dicapai iaitu tayangan filem tersebut diteruskan dengan syarat potongan ke atas babak yang menyentuh sensitiviti umat Islam dibuat.

0 Komentar untuk "KDN benarkan semula tayang filem Vishwaroopam"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top