Info Putra Heights 2016

INSTEDT jadi Kolej Universiti 2014

KUALA LUMPUR 10 Feb. - Institut Sains dan Teknologi Darul Takzim (INSTEDT) kini mengorak langkah ke arah pembentukan Kolej Universiti menjelang 2014.Kolej tersebut telah berjaya berkembang menjadi salah sebuah kumpulan pendidikan tinggi swasta milik bumiputera yang terbesar di negeri Johor sejak penubuhannya pada 1997.
 
Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Sharul Azila Mohd. Salleh (gambar) berkata, ini membolehkan tawaran khusus di peringkat ijazah ditawarkan kepada pelajar bagi memenuhi keperluan pasaran kerja di negara ini.
Katanya, INSTEDT kini sedang dalam persediaan ke arah status tersebut dan dalam proses menghantar dokumen kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
 
"INSTEDT melahirkan graduan yang berkualiti tinggi selari dengan kehendak pasaran kerja dan keseluruhan graduan mendapat mendapat pekerjaan dalam tempoh yang singkat.
"Ini adalah sesuatu yang membanggakan, dan kita mahu lebih ramai lagi pelajar untuk mendaftar dengan tawaran khusus yang dirangka berdasarkan permintaan kerja pada masa kini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.
Sharul Azila berkata, INSTEDT merupakan sebuah institusi pendidikan yang menjadi penyedia tenaga kerja di masa depan.
 
"Kita melihat graduan yang lahir dari kolej ini akan mendapat peluang pekerjaan lebih-lebih lagi dalam hab industri minyak dan gas di bandar Pengerang, Johor yang memerlukan kira-kira 40 ribu tenaga kerja yang meliputi bidang pengurusan dan pentadbiran," katanya.
Jelasnya lagi, ke semua kursus yang ditawarkan menekankan pendidikan bersifat hibrid setaraf dengan institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara yang turut mendapat akreditasi penuh daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
 
Selain itu, katanya, beberapa kursus baru turut ditawarkan iaitu Diploma Kesetiausahaan Undang-Undang, Diploma Pengajian Islam, Diploma Grafik Media Digital dan Perbankan Islam.
"Kita menyasarkan untuk menerima kira-kira 800 pelajar pada kemasukan April ini meliputi 13 kursus yang ditawarkan sekarang,"katanya.
 
Dalam pada itu,INSTEDT juga sedang dalam perbincangan awal untuk berkerjasama dengan universiti antarabangsa di Korea bagi memberi nilai tambah kepada kursus dan para pelajar.
"INSTEDT juga menjalin kerjasama dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam beberapa kursus dan telah mendapat pengiktirafan kualiti Gred A dalam hasil penilaian audit kualiti Akademik dari universiti tersebut,"katanya

0 Komentar untuk "INSTEDT jadi Kolej Universiti 2014"

Tinggalkan sepatah dua kata untuk tatapan pengunjung putraheights.org.

Back To Top